KAHIRAH: Serangan Israel di seluruh Gaza mengorbankan 42 orang pada 23 Oktober ketika tentera Israel terus menyerang utara wilayah Palestin, mengepung hospital dan tempat perlindungan pelarian serta mengarahkan penduduk ke selatan, kata pegawai perubatan dan penduduk.
Kementerian Kesihatan Gaza dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata mereka tidak akan dapat memulakan kempen vaksinasi polio di utara Gaza seperti yang dirancang kerana pengeboman sengit, pemindahan besar-besaran dan kekurangan akses.
Tentera Israel memulakan operasi di utara pada awal Oktober dengan tujuan menghalang anggota Hamas daripada bersatu semula.
Operasi itu semakin rancak sejak pembunuhan ketua Hamas Encik Yahya Al-Sinwar pada 16 Oktober.
Penduduk berkata tentera Israel telah mengepung tempat perlindungan, mengusir pelarian berpindah ke tempat lain dan menangkap ramai lelaki.
Kementerian Kesihatan berkata sekurang-kurangnya 650 orang telah terbunuh sejak serangan baru Israel itu bermula.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza berkata tiga penyelamatnya cedera di utara Gaza dalam “serangan bersasar” yang bertujuan memaksa mereka keluar dari Jabalia.
Akibatnya, semua operasinya di utara Gaza digantung selepas tentera Israel menahan lima kakitangan dan mengebom satu-satunya trak bomba.
“Kerja kami telah terhenti sepenuhnya di utara Gaza dan keadaan telah menjadi bencana di sana. Penduduk di sana kini tanpa sebarang perkhidmatan kemanusiaan,” kata perkhidmatan kecemasan awam dalam satu kenyataan.
Pegawai kesihatan dan kecemasan awam berkata berpuluh-puluh mayat rakyat Palestin yang terkorban akibat tembakan Israel di Jabalia bergelimpangan di tepi jalan dan di bawah runtuhan.
Hospital di utara sama ada berhenti menyediakan perkhidmatan perubatan atau hampir tidak beroperasi.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata pada 23 Oktober bahawa salah seorang kakitangan lelakinya terbunuh apabila kenderaan mereka dilanggar di Deir Al-Balah di tengah Gaza.
Pakar perubatan berkata abang lelaki mangsa itu turut terbunuh.
Majlis Perbandaran Bandar Gaza berkata dua pekerjanya maut dan tiga lagi cedera dalam serangan Israel di sana.
Di Beirut pula, Israel telah menyerang pinggir bandar di selatan pada 23 Oktober.
Manakala Hezbollah berkata ia telah meluncurkan peluru berpandu ke arah Israel, ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, yang melawat negara itu bagi mengusahakan keamanan kembali di Timur Tengah dengan matlamat memulihkan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi..
Satu lagi serangan udara Israel tanpa amaran mengenai pejabat berdekatan stesen penyiaran pro-Iran Al-Mayadeen, kata stesen itu.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata seorang terbunuh dan lima yang lain, termasuk seorang kanak-kanak, cedera.
Hezbollah yang disokong Iran, berkata ia telah meningkatkan serangannya ke atas Israel, menggunakan “peluru berpandu sasaran tepat” buat pertama kali dan melancarkan jenis dron baru ke atas sasaran Israel. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg