KAHIRAH: Liga Arab telah mengeluarkan deklarasi tegas pada 22 Oktober setelah pertemuan tergempar wakil tetapnya, bagi membincangkan langkah untuk menghentikan apa yang disifatkan sebagai genosid yang sedang berlaku di Gaza oleh Israel.
Dalam pernyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat di Kahirah, Mesir wakil Liga Arab menyeru tindakan kolektif Arab dan antarabangsa untuk menamatkan “jenayah genosid, pengusiran paksa, dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.”
Deklarasi tersebut mengutuk peningkatan serangan kejam, terutama di utara Gaza, lokasi tentera Israel didakwa sedang melaksanakan pelan sistematik untuk mengosongkan kawasan tersebut.
Liga Arab turut mengkritik Amerika Syarikat kerana terus memberi bantuan ketenteraan kepada Israel, sambil menyeru langkah yang lebih tegas untuk menuntut tanggungjawab Israel.
Ia termasuk menggantung penyertaan negara itu dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mendakwa pemimpin Israel di mahkamah antarabangsa.
Seruan untuk penguatkuasaan sekatan terhadap Israel juga ditekankan, dengan merujuk keputusan yang telah dibuat pada persidangan dan mesyuarat menteri yang lalu.
Ini termasuk mencadangkan penangguhan penyertaan Israel dalam PBB serta melabelkan organisasi peneroka haram Israel sebagai entiti pengganas.
Di peringkat antarabangsa, Liga Arab menyokong usaha memfailkan kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, serta Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, atas peranan mereka dalam serangan yang sedang berlaku.
Deklarasi itu dibuat menyusuli keadaan di Gaza yang semakin genting dengan ribuan rakyat Palestin yang sudah keletihan akibat peperangan terpaksa melarikan diri ke utara Gaza setelah terperangkap dalam konflik.
Hospital seperti Hospital Al-Awda di utara Gaza, kini berdepan kekurangan bekalan perubatan dan makanan akibat pengepungan tentera Israel.
Pengarah hospital, Dr Mohamed Saleha, berkata pada 22 Oktober bahawa situasi semakin genting dengan kehabisan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan jabatan penting di hospital.
Serangan Israel yang berterusan turut menyasarkan prasarana kritikal, termasuk kemudahan yang dimiliki Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Ia menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar bagi penduduk Gaza yang sudah menderita akibat sekatan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.
Lebih memburukkan keadaan, tentera Israel terus tingkatkan pengepungan penuh di utara Gaza dengan mendirikan lebih banyak pos pemeriksaan.
Penduduk yang terperangkap, termasuk wanita dan kanak-kanak, diperiksa sebelum dibenarkan melalui kawasan yang dikawal ketat oleh tentera.
Di Jabalia, kawasan tumpuan operasi ketenteraan berskala besar, banyak keluarga Palestin terpaksa berpindah dalam keadaan yang sangat tertekan, dengan kereta kebal Israel dikerahkan di laluan yang penuh dengan sisa runtuhan bangunan.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Palestin, hanya sebuah hospital di utara Gaza yang masih beroperasi secara separuh, dan kekurangan bekalan perubatan menjadikan keadaan semakin buruk.
Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hossam Abu Safia, berkata ramai penduduk terbunuh di jalanan dan mereka tidak mampu memberi bantuan perubatan yang diperlukan.
Serangan udara dan darat oleh Israel telah menyebabkan lebih 42,700 kematian serta lebih 100,000 kecederaan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg