KAHIRAH: Tentera Israel mengepung hospital dan tempat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di utara Jaluran Gaza pada 21 Oktober ketika mereka meningkatkan operasi terhadap Hamas, kata penduduk dan pegawai perubatan.
Mereka turut mengarahkan kaum lelaki dan wanita agar segera meninggalkan kem pelarian bersejarah Jabalia.
Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata pihak berkuasa Israel menghalang misi kemanusiaan yang membawa bekalan genting termasuk ubat-ubatan dan makanan daripada bergerak ke kawasan di utara Gaza.
“Orang yang cuba melarikan diri dibunuh, mayat mereka ditinggalkan di jalanan,” kata ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, menerusi platform sosial X.
Pakar perubatan di Hospital Indonesia di Gaza memberitahu agensi berita Reuters bahawa tentera Israel menyerbu sebuah sekolah dan membakarnya di samping menahan beberapa lelaki. Kebakaran menjejas jana kuasa hospital dan menyebabkan bekalan elektrik terputus, tambah mereka.
Pegawai kesihatan berkata mereka telah menolak arahan tentera Israel yang memulakan pencerobohan baru ke utara wilayah itu sejak dua minggu lalu supaya mengosongkan tiga buah hospital di kawasan itu atau meninggalkan pesakit tanpa pengawasan.
“Tentera Israel membakar sekolah di sebelah hospital... tiada sesiapa boleh masuk atau keluar hospital,” kata seorang jururawat di Hospital Indonesia yang enggan namanya disiarkan.
Seorang jururawat penyelia di Hospital Indonesia, Encik Hadeel Obeid, berkata mereka kehabisan bekalan perubatan, termasuk kain kasa steril dan ubat-ubatan.
Bekalan air turut terputus dan tiada makanan untuk hari keempat berturut-turut.
Pegawai kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh di Jabalia dan lapan di tempat lain di Gaza dalam serangan Israel itu.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata ia beroperasi menentang “pengganas dan prasarana pengganas” di kawasan Jabalia.
“Kami menghadapi kematian akibat bom, kehausan dan kelaparan. Jabalia sedang dihapuskan dan tiada saksi jenayah itu, dunia membutakan matanya,” kata Encik Raed, penduduk kem Jabalia.
PBB berkata ia tidak dapat sampai ke tiga hospital di utara Gaza.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menuduh tentera Israel telah menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengeluarkan arahan memaksa penduduk berpindah.
Ia berkata tindakan Israel “mungkin menyebabkan kemusnahan penduduk Palestin di wilayah paling utara Gaza melalui pembunuhan dan perpindahan”.
“Baki tempat perlindungan UNRWA begitu sesak, beberapa orang yang berpindah kini terpaksa tidur di tandas,” katanya.
Rakyat Palestin berkata tiada bantuan kemanusiaan memasuki utara Gaza di mana operasi Israel itu dijalankan.
Penduduk dan pegawai perubatan berkata tentera Israel telah mengetatkan kepungan di Jabalia dengan mengarahkan kereta kebal di bandar Beit Hanoun dan Beit Lahiya yang berdekatan serta menggesa penduduk berpindah.
Pegawai Israel berkata arahan pemindahan bertujuan untuk memisahkan anggota Hamas daripada orang awam dan menafikan terdapat sebarang rancangan sistematik untuk melakukan pembersihan etnik.
Menurut pegawai itu lagi, tentera Israel telah membunuh puluhan lelaki bersenjata Hamas dan membongkar prasarana di utara Gaza.
Hamas menuduh Israel melakukan tindakan “pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik” untuk memaksa orang ramai meninggalkan utara Gaza. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg