BANGKOK: Sebuah bangunan pencakar langit setinggi 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh secara tiba-tiba di Bangkok pada 28 Mac, selepas ibu kota Thailand itu digegarkan oleh gempa bumi kuat sekuat 7.7 menurut skala Richter.
Menurut polis dan pasukan perubatan, seramai 43 pekerja dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Bangunan yang terletak di kawasan utara Bangkok itu dirancang untuk menempatkan pejabat-pejabat kerajaan.
Dalam beberapa saat selepas gegaran melanda, struktur konkrit dan keluli binaannya bertukar menjadi timbunan serpihan dan besi berpintal.
Gempa bumi yang berpusat di wilayah Sagaing, Myanmar, berlaku pada 2.17 petang waktu tempatan pada 28 Mac.
Beberapa minit kemudian, gegaran susulan sekuat 6.4 turut direkodkan.
Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, mengisytiharkan darurat di Bangkok dan menggantung lawatannya ke Phuket untuk mempengerusikan mesyuarat tergempar.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Kami sedang menggerakkan semua agensi penyelamat ke tapak-tapak genting,” katanya dalam satu kenyataan di wadah X.
Getaran kuat turut menyebabkan panik di bandar lain seperti, Chiang Mai dan Chiang Rai.
Seorang penduduk di Chiang Mai, Encik Duangjai, berkata beliau sedang tidur ketika gegaran berlaku.
“Saya terjaga kerana lantai bergoyang. Saya terus lari keluar dalam pakaian tidur,” katanya kepada agensi berita, AFP.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Sai, 76 tahun, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka berkata: “Saya belum pernah rasa gegaran sekuat ini sepanjang hidup saya. Kami semua lari keluar serta-merta.”
Di Bangkok, beberapa bangunan dilaporkan rosak dan perkhidmatan metro serta kereta api ringan terganggu buat sementara waktu.
Seorang saksi di daerah Chatuchak mendakwa melihat sebuah bangunan pejabat bergoyang selama hampir dua minit, dengan pintu dan tingkap berbunyi kuat.
Sementara itu, di Myanmar, gegaran turut menyebabkan siling runtuh dan jalan raya retak di ibu kota Naypyidaw.
Kakitangan muzium kebangsaan dilihat berlari keluar dalam keadaan panik, ada yang menangis dan ada juga yang cuba menghubungi keluarga melalui telefon.
Media sosial dibanjiri dengan gambar dan video dari Mandalay, yang menunjukkan bangunan runtuh dan serpihan memenuhi jalan.
Gegaran turut dirasai di wilayah Yunnan, China, dengan agensi gempa bumi Beijing mencatatkan kekuatan gegaran pada 7.9 magnitud.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan secara rasmi, namun pasukan penyelamat sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di tapak-tapak terjejas.
“Kami sedang bergelut dengan masa untuk menyelamatkan nyawa,” kata seorang anggota penyelamat Bangkok. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg