RIYADH: Sekurang-kurangnya 4,900 perjalanan tren dijangka dilakukan dalam tempoh tujuh hari di laluan Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line, membabitkan sehingga dua juta penumpang sepanjang musim haji 2025.
Metro berkapasiti tinggi yang turut dikenali sebagai ‘Sacred Sites Train Line’ itu hanya beroperasi setahun sekali, khusus untuk mengangkut jemaah antara lokasi suci di Makkah seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Encik Saleh Al-Zuwaid, berkata persiapan rapi merangkumi sektor udara, darat, laut dan logistik sedang giat dijalankan menjelang musim haji.
“Setakat ini, sebanyak 3,314 penerbangan dari 238 destinasi di 71 negara menerusi 62 syarikat penerbangan telah tiba di Arab Saudi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, jumlah perjalanan melalui Haramain High Speed Railway meningkat sebanyak 75 peratus berbanding musim Haji lalu.
Inisiatif baru dikenali sebagai ‘Haji Tanpa Bagasi’ juga diperkenalkan, membolehkan jemaah menaiki kereta api ke Makkah tanpa perlu membawa bagasi, yang akan dihantar berasingan untuk keselesaan mereka.
Untuk pengangkutan darat, lebih 25,000 bas disediakan dengan pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh.
Teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) turut diguna pakai.
Kenderaan khas dilengkapi AI digunakan untuk mengimbas keselamatan jalan raya dari pelabuhan masuk ke tapak suci.
Hasilnya, jalan raya sepanjang 7,400 kilometer berjaya diselenggara pada 2025.
Jurucakap sektor komunikasi haji, Encik Saad Al-Shanbari pula memaklumkan, liputan 4G dan 5G di Makkah, Madinah dan lokasi suci kini melebihi 99 peratus dengan peningkatan ketara dalam kelajuan Internet.
“Sebanyak 10,500 titik akses Wi-Fi telah dipasang bagi memperkayakan pengalaman digital jemaah,” jelasnya.
Sistem kawalan orang ramai berasaskan AI serta rangkaian komunikasi khas turut dibangunkan bersama Aramco Digital bagi memastikan kelancaran operasi digital sepanjang musim haji.
Jurucakap kementerian menegaskan, komitmen kerajaan Arab Saudi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan menyeru jemaah mematuhi garis panduan rasmi demi keselamatan dan kelancaran ibadah.
Musim haji tahun ini akan bermula pada esok (4 Jun) dan berakhir pada Isnin (9 Jun) ini. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg