MADINAH: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mempertingkatkan perkhidmatan mereka secara menyeluruh bagi menampung peningkatan jumlah jemaah di Masjid Nabawi sempena musim haji tahun ini (2025), lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memastikan bekalan air zamzam sentiasa tersedia melalui tong dan botol yang diletakkan di dalam masjid, atas bumbung, serta di stesen air sejuk di kawasan dataran masjid.
Perangkaan terkini dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan skala perkhidmatan yang disediakan.
Bermula 15 Zulkaedah hingga 1 Zulhijjah 1446 Hijrah (12 hingga 28 Mei lalu), sebanyak 218,336 botol air zamzam diagihkan kepada jemaah lelaki dan wanita di Masjid Nabawi.
Jumlah keseluruhan air Zamzam yang digunakan mencecah 3,360 tan.
Selain itu, sebanyak 301,802 juadah iftar diagihkan kepada individu yang berpuasa di kawasan khas yang disediakan dalam Masjid Nabawi.
Antara usaha lain yang dilaksanakan termasuk pembakaran tujuh kilogram (kg) gaharu bermutu tinggi untuk menyemarakkan suasana di dalam masjid dan kawasan Raudhah sebelum waktu solat, di pintu-pintu masuk serta koridor.
Sebanyak 52,625 liter bahan penyahjangkitan dan sanitasi turut digunakan untuk kerja-kerja pembersihan, pensterilan dan nyahkuman secara menyeluruh ke atas masjid dan kemudahannya.
Program intensif berkenaan dilaksanakan sepanjang masa bagi memastikan suasana yang sihat dan selamat buat jemaah dan pengunjung Masjid Nabawi. - Agensi Berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg