Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5.4j umat Islam Indonesia dalam senarai menunggu haji 25-30 tahun

Dec 16, 2024 | 10:18 AM
Seramai 5.4 juta umat Islam Indonesia kini dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji dan angka itu terus meningkat setiap tahun. Dengan kuota tahunan sekitar 200,000 anggota jemaah, tempoh menunggu boleh mencecah sekurang-kurangnya 25 tahun.
Seramai 5.4 juta umat Islam Indonesia kini dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji dan angka itu terus meningkat setiap tahun. Dengan kuota tahunan sekitar 200,000 anggota jemaah, tempoh menunggu boleh mencecah sekurang-kurangnya 25 tahun. - Foto INSTAGRAM INDONESIA_HAJI

JAKARTA: Jumlah umat Islam di Indonesia yang menunggu untuk menunaikan ibadah haji kini mencecah 5.4 juta orang, menurut kenyataan Badan Pengelola Kewangan Haji (BPKH).

Dengan kuota tahunan sekitar 200,000 anggota jemaah, tempoh menunggu untuk menunaikan ibadah itu boleh mencapai sekurang-kurangnya 25 tahun, malah sehingga 30 tahun di beberapa kawasan seperti Sulawesi Selatan.

“Kita perlu mencari penyelesaian untuk membantu umat Islam Indonesia melaksanakan rukun Islam kelima.

“Perkhidmatan perbankan syariah boleh menjadi salah satu penyelesaian,” ujar Ketua BPKH, Encik Fadlul Imansyah, dalam acara tahunan BPKH di Jakarta.

Beliau turut mendedahkan hanya 0.31 peratus daripada 210 juta umat Islam di Indonesia yang telah mendaftar sebagai calon jemaah haji, walaupun data 2023 menunjukkan 17 juta umat Islam layak secara fizikal dan kewangan untuk menunaikan haji.

Menurut Encik Fadlul, isu itu bukan sahaja mencerminkan cabaran besar, malah peluang untuk memperkukuhkan ekosistem khidmat haji di Indonesia.

“Senarai menunggu yang panjang ini menunjukkan bahawa sektor perbankan syariah mempunyai potensi besar dikembangkan.

“Namun, tempoh menunggu yang terlalu lama memerlukan kita mencari inovasi baru untuk mempercepatkan proses ini,” katanya.

Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, menjelaskan bahawa tempoh menunggu yang panjang sebahagian besarnya disebabkan oleh kapasiti terhad di lokasi utama di Arab Saudi seperti Mina, Arafah dan Masjidil Haram.

Beliau turut menekankan bahawa pertumbuhan pesat populasi Muslim dunia, yang kini mencecah 2.2 bilion, menjadi cabaran sejagat dalam pelaksanaan ibadah haji.

“Sekiranya ruang di Mina, Arafah dan Kaabah tidak terhad, isu ini mungkin tidak menjadi perbincangan utama,” ujar Encik Nasaruddin.

Indonesia telah berusaha melobi Arab Saudi agar menambah kuota haji.

Pada 2023, ia berjaya mendapatkan tambahan 20,000 tempat, menjadikan jumlah kuota kepada 221,000 anggota jemaah.

Namun, usaha lanjut meningkatkan kuota dianggap sensitif.

Ramai umat Islam Indonesia mencari jalan alternatif menunaikan haji melalui negara lain seperti Filipina dan China.

Penasihat Presiden dalam bidang haji, Encik Muhadjir Effendy, mencadangkan supaya perjalanan haji dilakukan sekali sahaja bagi mengurangkan senarai menunggu.

Beliau juga menyarankan langkah untuk mengurangkan kos, termasuk kos penerbangan dan bahan makanan dari Indonesia untuk jemaah.

“Sekitar 70 peratus kos haji digunakan untuk pengangkutan, terutamanya tiket penerbangan.

“Jika ini dapat dijimatkan, kos haji boleh dikurangkan dan tempoh haji mungkin menjadi lebih pendek,” jelas Encik Muhadjir. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg