BANDUNG: Menteri Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar, menekankan komitmen Kementerian Agama untuk memastikan penyelenggaraan ibadah bagi musim haji 1446H/2025M bebas daripada sebarang unsur rasuah dan penyelewengan.
Ketika merasmikan Muzakarah Perhajian Indonesia 2024 di Institut Agama Islam (IAI) Persis Bandung, beliau menyatakan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) dan Pejabat Peguam Negara dalam usaha menjamin ketelusan dan kewibawaan dalam pengurusan ibadah ini.
“Penyelenggaraan haji tahun ini (2025) kita mahu bebas daripada isu-isu rasuah, sepertimana arahan Presiden Prabowo yang menekankan pengukuhan reformasi politik dan undang-undang, serta pencegahan rasuah dan dadah,” ujar Encik Nasaruddin seperti yang dilaporkan agensi berita Antara pada 8 November.
Menurutnya, KPK dan Pejabat Peguam Negara telah memberi persetujuan untuk membantu dalam memantau pelaksanaan haji bagi mengelak daripada masalah ekoran tidak patuh atau penyelewengan.
Penyelenggaraan haji merupakan proses yang sangat rumit dan melibatkan banyak pihak.
Justeru, bantuan daripada pihak luar sangat diperlukan untuk menjamin kelancaran urusan.
“Banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, dan kami akan bekerjasama dengan semua pihak untuk mengurangkan sebarang potensi penyimpangan,” katanya.
Encik Nasaruddin turut mengingatkan bahawa kejayaan pelaksanaan haji bukan sahaja diukur dari segi perkhidmatan yang baik, bahkan juga dari segi kewibawaan dalam pengurusan.
“Insya-Allah, obsesi kami ialah untuk menjadikan penyelenggaraan haji ini bukan sahaja berjaya, malah bersih daripada aspek pelaksanaan.
“Apa-apa kelemahan yang dapat dielakkan akan kami usaha untuk hapuskan,” ujar beliau.
Muzakarah Perhajian Indonesia 2024 bertujuan mengupas isu-isu penting yang akan menjadi panduan dan dasar dalam perancangan penyelenggaraan ibadah haji pada tahun mendatang.
Perbincangan itu selaras dengan agenda Encik Prabowo dalam memperkukuh reformasi dalam pemerintah dan swasta serta komitmen beliau membanteras rasuah.
“Presiden komited membersihkan agensi pemerintah dan swasta. Beliau tegas dalam usaha memastikan semua perkara yang merosakkan nilai luhur negara diatasi,” kata Encik Nasaruddin.
Menurutnya, kejayaan ibadah haji akan diukur bukan sahaja dari segi keberkesanan perkhidmatan kepada jemaah bahkan juga dengan memastikan tiada penyelewengan yang merugikan negara.
“Kami di Kementerian Agama bertekad melaksanakan haji tahun ini (2025) dengan lebih baik dan dengan pengurusan yang telus,” tambahnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg