WASHINGTON: Lima menteri luar Arab dan seorang pegawai kanan Palestin menghantar surat kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, menentang rancangan memindahkan penduduk Palestin dari Gaza, seperti yang dicadangkan oleh Presiden Donald Trump sebelum ini.
Surat itu dihantar pada 3 Februari dan ditandatangani oleh menteri luar Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), serta penasihat presiden Palestin Encik Hussein al-Sheikh.
Langkah bersama negara Arab itu pertama kali dilaporkan oleh laman berita Axios, yang menyatakan diplomat tertinggi bertemu di Kahirah pada hujung minggu.
Encik Trump mengemukakan cadangan agar Jordan dan Mesir menerima pemindahan rakyat Palestin dari Gaza pada 25 Januari.
Ketika ditanya sama ada beliau mencadangkan itu sebagai penyelesaian jangka panjang atau jangka pendek, Encik Trump hanya berkata: “Mungkin boleh jadi atau tidak!”
Komen Presiden Amerika itu menimbulkan kebimbangan rakyat Palestin yang sudah lama diusir dari kediaman mereka akibat perang.
Para pengkritik melabelkan cadangan Encik Trump sebagai langkah penghapusan etnik di bumi Gaza.
Jordan, Mesir dan negara Arab lain menentang sekeras-kerasnya usulan tersebut.
“Pembinaan semula di Gaza harus melalui penglibatan secara langsung dan penyertaan penduduk Gaza.
“Rakyat Palestin akan tetap tinggal di tanah air mereka dan membantu membinanya semula.
“Dan mereka tidak sepatutnya dilucutkan daripada hak mereka semasa usaha pembinaan semula kerana mereka mesti mahu ikut bertanggungjawab dan melalui proses itu dengan sokongan masyarakat antarabangsa,” kata surat tersebut.
Perang meletus selepas Hamas menyerang secara mengejut selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Israel dalam perang selama 15 bulan ke atas Gaza telah membunuh lebih 47,000 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan ribu yang lain.
Hampir seluruh wilayah musnah bak padang jarak padang tekukur dan penduduk Gaza yang terpaksa hidup berpindah-randah untuk menyelamatkan diri, dihimpit pula masalah kebuluran dek kurangnya bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada mereka.
Serangan itu membawa kepada tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang dinafikan Israel.
Pertempuran kini telah berhenti ekoran perjanjian gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan pada 19 Januari.
Jumlah kerosakan prasarana penting di Gaza telah mencecah AS$18.5 bilion ($25.1 bilion), berdasarkan anggaran terkini oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg