Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar gesa segerakan rundingan fasa kedua gencatan senjata Gaza

Feb 3, 2025 | 12:26 PM
Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani menyeru disegerakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza.
Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani menyeru disegerakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza. - Foto fail

DOHA: Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani menekankan peri pentingnya komitmen semua pihak melaksanakan semua syarat perjanjian gencatan senjata di Jaluran Gaza dan menyeru disegerakan rundingan fasa kedua perjanjian dan menetapkan agenda.

Dalam sidang akhbar bersama pada 2 Februari dengan Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, Sheikh Mohammed menekankan kepentingan menyatukan gencatan senjata di Jaluran Gaza dan bergerak ke hadapan dengan pertukaran tebusan dan banduan.

Menurutnya, langkah itu adalah satu-satunya jalan bermakna yang boleh mencapai hasil dalam rangka kerja ini.

“Kami menggariskan kepentingan komitmen semua pihak untuk melaksanakan semua syarat perjanjian gencatan senjata di Gaza dan memulakan rundingan fasa kedua,” kata Sheikh Mohammed.

“Seharusnya tidak ada kompromi untuk melibatkan diri dalam rundingan fasa kedua,” tegasnya.

Menurut Sheikh Mohammed, rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dijadualkan bermula pada 3 Februari.

“Tetapi tiada butiran jelas mengenai ketibaan delegasi dan permulaan rundingan, dan kami berharap untuk melihat beberapa pergerakan dalam beberapa hari akan datang,” tambahnya.

Perdana Menteri Qatar berharap Hamas dan Israel melibatkan diri dengan niat yang baik.

Menurut media Israel, Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menangguhkan penghantaran pasukan perundingnya ke Qatar sehingga beliau bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di Washington pada 4 Februari.

Mengenai cadangan Encik Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza, Sheikh Mohammed mengulangi penolakan tegas Qatar terhadap sebarang pemindahan paksa.

“Kami sedang melibatkan pentadbiran Trump dan berharap tidak akan ada perselisihan faham,” katanya.

Semasa mesyuarat menteri Arab di Kahirah pada 1 Februari, Sheikh Mohammed mengulangi penentangan kuat Qatar terhadap sebarang percubaan memindahkan rakyat Palestin secara paksa daripada Gaza.

Pada 25 Januari, Presiden Trump mencadangkan rakyat Palestin di Gaza harus dipindahkan ke Mesir dan Jordan.

Cadangannya ditolak sekeras-kerasnya oleh Kahirah dan Amman.

Fasa enam minggu pertama perjanjian yang menyaksikan pembebasan beransur-ansur tebusan Israel dan tahanan Palestin berkuat kuasa mulai 19 Januari. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg