JAKARTA: Agensi Pemakanan Kebangsaan (BGN) telah mengambil 5,000 cef profesional untuk melatih kakitangan yang bekerja di dapur bagi menyediakan makanan di bawah program makanan berkhasiat percuma Indonesia.
Namun, pakar telah memberi amaran bahawa langkah itu mungkin bukan penyelesaian kepada masalah kes keracunan makanan yang menjejas program itu.
Agensi pemerintah itu mengumumkan pengambilan cef profesional itu pada 10 Oktober selepas mencapai persetujuan dengan Persatuan Cef Indonesia (ICA) untuk membantu kakitangan memasak secara profesional dan mengikut piawaian kebersihan.
“Cef profesional akan ditempatkan ke pelbagai wilayah di seluruh Indonesia mulai 13 Oktober,” kata Ketua BGN, Encik Dadan Hindayana, dalam satu kenyataan pada 10 Oktober.
Ditubuhkan pada 2007, persatuan tersebut ialah organisasi bukan mencari untung yang dianggotai 4,000 ahli – terdiri daripada cef profesional dan usahawan masakan di 22 wilayah, lapor laman webnya.
Pengerusi persatuan tersebut, Encik Susanto, mengulangi iltizam menyokong kesinambungan program makanan percuma, menegaskan bahawa menghentikan program itu tidak akan menyelesaikan masalah keracunan makanan.
“Melalui kerjasama, kami berharap dapat memainkan peranan aktif sebagai rakan kongsi strategik dan menyediakan penyelesaian yang nyata dan mampan untuk program itu,” tambahnya.
Menurut beliau, persatuan itu telah berkongsi cadangan dengan BGN mengenai pengurusan dapur, secara rasmi dipanggil Unit Perkhidmatan Pemenuhan Nutrisi (SPPG), dan juga akan menyediakan bimbingan teknikal serta pensijilan kepada kakitangan dapur.
Sehingga minggu lalu, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (Celious) telah melaporkan hampir 10,000 kes penyakit disebabkan makanan dalam kalangan penerima makanan percuma – melonjak daripada 6,457 kes pada September.
Mengulas mengenai kejadian itu, pemerintah berikrar meningkatkan penyeliaan, seperti memerlukan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) kebersihan dan sanitasi serta pensijilan halal untuk semua SPPG.
Namun, lebih banyak kes keracunan dilaporkan pada Oktober termasuk yang terkini di Jawa Timur, Kalimantan Selatan dan Nusa Tenggara Timur.
“Pengurusan yang betul dan pemeriksaan berkala adalah penting untuk memastikan keselamatan makanan dan membantu mencegah pencemaran bakteria atau kulat yang boleh membawa kepada keracunan,” kata pakar kesihatan awam, Cik Irma Hidayana.
Menurut beliau, daripada bergantung kepada tukang masak profesional atau kakitangan dapur yang terhad untuk pengeluaran berskala besar, beliau mencadangkan pihak berkuasa memperkasakan masyarakat tempatan, seperti mereka yang bekerja di pusat kesihatan masyarakat untuk menyediakan makanan bagi program itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg