Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi halal Indon sahkan dulang program makanan percuma bebas lemak khinzir

Oct 7, 2025 | 2:07 PM
Agensi Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH) telah mengesahkan dulang makanan import yang digunakan dalam program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) adalah bebas daripada bahan yang berasal daripada khinzir.
Agensi Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH) telah mengesahkan dulang makanan import yang digunakan dalam program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) adalah bebas daripada bahan yang berasal daripada khinzir. - Foto: EPA

JAKARTA: Agensi Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH) telah mengesahkan dulang makanan import yang digunakan dalam program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) adalah bebas daripada bahan yang berasal daripada khinzir.

Ini sebagai meredakan kebimbangan orang ramai terhadap dakwaan penggunaan minyak lemak khinzir dalam pengeluaran mereka.

Ketua BPJPH Encik Ahmad Haikal Hassan berkata pada 6 Oktober bahawa ujian makmal mendapati tiada kesan lemak babi atau bahan tidak halal lain dalam dulang, yang diimport dari China.

“Tiada satu dulang pun mengandungi minyak khinzir. Saya jamin 1,000 peratus, kerana semua sampel telah diuji di makmal,” kata Haikal kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di Jakarta Timur.

Penjelasan itu dibuat selepas laporan media tempatan dan hantaran media sosial yang mendakwa bahawa beberapa dulang buatan China mungkin disalut dengan minyak lemak babi.

Encik Haikal menolak laporan itu sebagai “tidak berasas,” menyatakan produk yang dihantar ke Indonesia mematuhi sepenuhnya piawaian halal.

“Meskipun beberapa kilang menggunakan minyak khinzir untuk pasaran domestik mereka, apa yang dihantar ke Indonesia telah disahkan memenuhi keperluan halal,” ujarnya.

Encik Haikal menambah, BPJPH kini menggalakkan pemerintah agar menggantikan dulang import secara beransur-ansur dengan produk buatan tempatan bagi mengukuhkan industri dalam negeri.

“Kami mencadangkan barang-barang yang digunakan dalam program MBG diperoleh daripada pengeluar Indonesia terlebih dahulu, dan hanya dimport sekiranya bekalan berkurangan,” tegasnya.

Program MBG - salah satu inisiatif kebajikan utama Presiden Prabowo Subianto-- bertujuan untuk menyediakan makanan berkhasiat percuma kepada pelajar sekolah di seluruh negara.

Dilancarkan pada Januari 2025, ia telah memanfaatkan kira-kira 30 juta pelajar tetapi pemerintah telah memperlahankan perluasan program selepas beberapa insiden keracunan makanan pada September lalu.

Bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai, pemerintah telah mengetatkan kawalan kualiti dan jaminan halal di seluruh program.

Encik Haikal berkata BPJPH memastikan semua dapur yang menyertai MBG menepati piawaian halal - daripada bahan mentah hinggalah ke hidangan.

“Pensijilan merangkumi bukan sahaja bahan-bahan, tetapi juga peralatan dapur dan pemprosesan makanan,” kata beliau sambil menambah sekitar 5,000 ketua tukang masak telah menjalani latihan untuk menyelia dan mengawasi pematuhan undang-undang pemakanan Islam.

Semua dulang dan bahan makanan di bawah program tersebut mesti lulus sijil halal BPJPH, pemeriksaan kebersihan oleh Agensi Makanan dan Ubatan (BPOM), dan memenuhi standard kualiti kebangsaan (SNI). - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg