Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo pertahan program makanan percuma walau 6,000 kes keracunan dilaporkan

Sep 29, 2025 | 3:44 PM
Pelajar-pelajar Indonesia menikmati makanan percuma di sebuah sekolah di Keutapang, Aceh Besar, Indonesia, pada 29 September 2025. Program makanan berkhasiat percuma pemerintah diteruskan walaupun terdapat laporan kes keracunan makanan di beberapa kawasan di negara itu. Agensi Gizi Nasional Indonesia (BGN) menyatakan sebanyak 4,711 kes keracunan yang dikaitkan dengan makanan tengah hari sekolah telah direkodkan antara Januari hingga 22 September 2025, kebanyakannya di Pulau Jawa
Pelajar-pelajar Indonesia menikmati makanan percuma di sebuah sekolah di Keutapang, Aceh Besar, Indonesia, pada 29 September 2025. Program makanan berkhasiat percuma pemerintah diteruskan walaupun terdapat laporan kes keracunan makanan di beberapa kawasan di negara itu. Agensi Gizi Nasional Indonesia (BGN) menyatakan sebanyak 4,711 kes keracunan yang dikaitkan dengan makanan tengah hari sekolah telah direkodkan antara Januari hingga 22 September 2025, kebanyakannya di Pulau Jawa - Foto EPA

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada 28 September tampil mempertahankan program makanan percuma untuk kanak-kanak meskipun lebih 6,000 kes keracunan makanan telah dilaporkan sejak Januari.

Beliau menegaskan bahawa peratusan insiden itu amat kecil berbanding jumlah keseluruhan hidangan yang diagihkan dan menekankan bahawa program tersebut masih dalam proses penambahbaikan.

“Ya, memang ada kekurangan, termasuk keracunan makanan. Tetapi jika dihitung, jumlahnya hanya sekitar 0.00017 peratus daripada semua hidangan yang telah diedarkan,” kata Encik Prabowo dalam ucapannya di sebuah acara parti politik.

Insiden keracunan makanan ini mencetuskan kebimbangan masyarakat, dengan stesen televisyen menayangkan rakaman kanak-kanak dirawat di hospital. Pertubuhan bukan pemerintah tempatan mendesak agar program tersebut digantung sementara.

Menurut data rasmi, terdapat 70 insiden berasingan sejak Januari, dengan dua pertiga kes berlaku selepas Ogos. Daripada 6,000 penerima yang terjejas, sebahagian besar adalah kanak-kanak sekolah.

Program bernilai berbilion dolar itu dilancarkan Januari lalu dengan sasaran menyediakan makanan percuma bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga wanita hamil. Setakat ini, sekitar 30 juta penerima telah mendapat manfaat dan pemerintah menyasarkan angka itu mencecah 83 juta menjelang akhir 2026.

Encik Prabowo menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan membasmi masalah bantut kanak-kanak dan pada masa sama memberi kesan berganda kepada ekonomi. “Program ini bukan sahaja meningkatkan pemakanan kanak-kanak, malah membuka peluang pekerjaan serta membantu petani dan nelayan menjual hasil mereka,” katanya.

Beliau menambah: “Usaha sebesar ini belum pernah dilakukan sebelum ini. Brazil memerlukan 11 tahun untuk capai 40 juta penerima, sedangkan kita baru bermula.”

Selepas mesyuarat kabinet pada hujung minggu lalu, Encik Prabowo mengarahkan setiap dapur penyedia makanan dilengkapi dengan kit ujian pantas, alat pensteril dulang makanan, penapis air dan kamera litar tertutup yang disambungkan terus ke kerajaan pusat.

Badan Gizi Nasional (BGN) melaporkan minggu lalu bahawa daripada 9,000 dapur yang terlibat, 40 telah ditutup kerana gagal memenuhi piawaian keselamatan. Pihak berkuasa turut bimbang tentang kelestarian fiskal program ini, dengan bajet 2026 mencecah 335 trilion rupiah, tiga kali ganda daripada 99 trilion rupiah pada 2025.

Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak, Cik Arifah Fauzi, menegaskan bahawa pemerintah sudah mengambil langkah terbaik menghadapi kejadian luar biasa ini. “Kami telah berkoordinasi dengan beberapa kementerian dan agensi untuk mencari penyelesaian terbaik. Semua ini demi keselamatan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Penyelaras Ehwal Makanan, Encik Zulkifli Hasan, meminta semua pihak terlibat memperketat disiplin dan kebersihan di dapur penyedia makanan. “SLHS (Sijil Kebersihan dan Sanitasi) kini wajib. Tanpa sijil ini, insiden sama boleh berulang dan kita mahu elakkannya,” tegas beliau.

Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, mendedahkan bahawa Encik Prabowo memberi arahan teknikal yang sangat terperinci dalam mesyuarat kabinet mengenai program ini. “Beliau tekankan soal disiplin, prosedur, dan terutama sekali aspek kebersihan,” katanya.

Menurut BGN, punca utama keracunan ialah pencemaran bakteria. Antaranya termasuk E. coli yang ditemui dalam air, nasi, tauhu dan ayam; Staphylococcus aureus dalam tempe dan bebola daging; Salmonella dalam ayam, telur dan sayuran; serta Bacillus cereus dalam mi. Beberapa jenis bakteria lain seperti Klebsiella dan Proteus juga dikesan dalam air tercemar.

Isu ini amat sensitif sehingga pejabat presiden menarik balik pas media seorang wartawan yang bertanya secara langsung kepada Encik Prabowo tentang cara menangani kes keracunan. Tindakan itu mengundang kritikan, kerana dianggap bertentangan dengan semangat keterbukaan.

Namun, bagi Encik Prabowo, isu utama ialah memastikan program ini diteruskan dengan penambahbaikan. “Kita tidak boleh berhenti hanya kerana kesilapan kecil. Tujuan kita lebih besar memastikan anak-anak Indonesia mendapat makanan bergizi, sihat, dan bersih,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg