DUBAI: Satu letupan kuat menggegarkan kawasan perindustrian Ras Laffan di Qatar pada malam 21 Jun, ketika pekerja sedang cuba memulihkan operasi terminal eksport gas utama negara itu selepas ia rosak akibat serangan Iran semasa perang baru-baru ini.

Letupan itu mencetuskan kebakaran di kemudahan bekalan gas Barzan dan menyebabkan sekurang-kurangnya 54 orang cedera, manakala 18 lagi masih hilang beberapa jam selepas kejadian.

Kementerian Dalam Negeri Qatar berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa Qatar telah dikerah ke kawasan berkenaan bagi menjalankan operasi mencari mangsa yang masih belum ditemui.

Menurut kementerian itu, kejadian tersebut berpunca daripada “letupan dalaman” di Bandar Perindustrian Ras Laffan, kira-kira 80 kilometer di utara Doha.

Dalam kenyataan kemudian, kementerian menyifatkan tragedi itu berpunca daripada “kerosakan teknikal”, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan mangsa yang cedera.

“Seramai 54 orang cedera dalam kejadian di sebuah kilang di Bandar Perindustrian Ras Laffan,” lapor kenyataan kementerian itu di wadah X pada 22 Jun.

“Pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari 18 orang yang dilaporkan hilang,” tambahnya.

QatarEnergy, syarikat tenaga milik pemerintah yang menguruskan kawasan perindustrian itu, berkata letupan berlaku ketika proses memulakan semula operasi di Ras Laffan.

“Insiden berlaku semasa permulaan operasi di Bandar Perindustrian Ras Laffan, yang menyebabkan letupan dan kebakaran di kemudahan bekalan gas tempatan Barzan,” kata QatarEnergy.

Syarikat itu berkata pasukan tindak balas kecemasan segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran.

Kementerian Dalam Negeri Qatar turut memberi jaminan tiada kebocoran dari kemudahan itu yang boleh membahayakan keselamatan awam.

Namun, tahap kerosakan sebenar masih belum diketahui.

Seorang wartawan agensi berita, AFP, yang berada kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian melaporkan melihat api menerangi langit malam dan kepulan asap naik dari kawasan perindustrian itu.

Ras Laffan menempatkan kemudahan eksport gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia dan menghasilkan kira-kira satu perlima daripada bekalan LNG sejagat.

Letupan itu dikhuatiri menambah gangguan kepada pasaran tenaga dunia, memandangkan Qatar ialah antara pengeluar gas asli terbesar dunia bersama Amerika Syarikat, Australia dan Russia.

Qatar sebelum ini menghentikan pengeluaran LNG pada 2 Mac selepas serangan dron Iran mengenai beberapa kemudahan utama tenaga negara itu.

Pada Mac lalu, pemerintah Qatar mengumumkan bahawa kawasan perindustrian Ras Laffan mengalami “kerosakan besar” akibat serangan peluru berpandu dan dron Iran.

Serangan susulan pada 18 Mac pula dijangka mengurangkan keupayaan eksport LNG Qatar sebanyak 17 peratus dan memerlukan antara tiga dengan lima tahun untuk dibaiki, tambah Menteri Tenaga Qatar, Encik Saad Al-Kaabi, ketika itu.

Loji Barzan mempunyai kapasiti hampir 1.4 bilion kaki padu standard gas jualan sehari, yang digunakan Qatar khusus bagi menjana elektrik tempatan dan menggerakkan loji penyahgaraman air.

Qatar memiliki hampir keseluruhan loji itu, manakala sebahagian kecil pegangan dimiliki ExxonMobil.

Qatar berkongsi medan gas luar pesisir yang besar di Teluk Parsi dengan Iran.

Kekayaan daripada gas asli itu membolehkan negara kecil Teluk itu meningkatkan pengaruh sejagatnya, termasuk melalui penganjuran Piala Dunia FIFA 2022, penubuhan rangkaian berita, Al Jazeera, dan peranannya sebagai pengantara dalam beberapa rundingan antarabangsa.

QatarEnergy sebelum ini menggunakan klausa, force majeure, dalam beberapa kontraknya bagi melepaskan diri daripada kewajipan bekalan selepas serangan Iran, sekali gus menjejas pelanggan di Italy, Belgium, Korea Selatan dan China.

Letupan terkini itu berlaku ketika Iran dilaporkan mula melonggarkan cengkamannya ke atas Selat Hormuz, laluan penting eksport tenaga dunia, ketika rundingan bagi menamatkan perang secara kekal masih diteruskan.

Qatar mula berusaha menghidupkan semula terminal eksportnya selepas sekatan penghantaran melalui selat itu mula reda.

Namun, letupan di Ras Laffan menunjukkan proses pemulihan sektor tenaga Qatar masih rapuh dan boleh membawa kesan besar kepada bekalan gas sejagat. – Agensi berita.