Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

54 pasangan bina mahligai di tengah runtuhan perang Gaza

Dec 3, 2025 | 3:00 PM
kahwin ramai-ramai, al fares al shahim, khan younis, gaza
Seramai 54 pasangan pengantin diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai yang dibiayai oleh Al Fares Al Shahim, sebuah badan bantuan kemanusiaan yang disokong Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Khan Younis, selatan Gaza pada 2 Disember. - Foto REUTERS

KHAN YOUNIS (Jaluran Gaza): Cik Eman Hassan Lawwa berpakaian pengantin tradisional Palestin dan suaminya, Encik Hikmat Lawwa, memakai sut ketika mereka berjalan bergandingan tangan melepasi puing-puing bangunan runtuh di selatan Gaza.

Mereka diikuti 53 mempelai lain yang juga mendirikan rumah tangga ketika Gaza masih bergelumang dengan pelbagai masalah akibat perang selama lebih dua tahun itu.

Majlis perkahwinan beramai-ramai melibatkan 54 pasangan itu berlangsung pada 2 Disember ketika hati mereka berbunga dengan harapan yang jarang berlaku selepas dua tahun menyaksikan kemusnahan, kematian dan konflik.

Di sebalik kesengsaraan dan kesedihan, Cik Eman dan suaminya, kedua-duanya berusia 27 tahun, berkata:

“Semua telah berlaku dan kami akan memulakan hidup baru. Insya-Allah, ini akan menjadi pengakhiran perang.”

Tidak seperti upacara perkahwinan besar-besaran pada zaman sebelum perang, majlis melibatkan 54 pasangan itu diadakan secara sederhana dan seadanya.

Meskipun para jemputan bersorak mengibarkan bendera Palestin di bandar selatan Khan Younis itu, namun mereka dirundung krisis yang berterusan di seluruh Gaza.

Kebanyakan dua juta penduduk Palestin di Gaza, termasuk Cik Eman dan Encik Hikmat, telah kehilangan tempat tinggal akibat perang dan seluruh kawasan bandar telah musnah.

Masalah kekurangan bantuan dan ledakan keganasan terus melanda kehidupan seharian penduduk Gaza.

Pasangan muda itu, yang merupakan saudara jauh, melarikan diri ke bandar Deir al-Balah yang berdekatan semasa perang dan telah bergelut mencari keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal.

Mereka berkata tidak pasti bagaimana mereka akan membina kehidupan memandangkan keadaan di sekeliling mereka yang masih tidak menentu.

“Kami mahu bahagia seperti seluruh dunia. Saya pernah bermimpi untuk mempunyai rumah, pekerjaan, dan hidup seperti orang lain,” kata Encik Hikmat sambil menambah impiannya kini adalah untuk segera mencari khemah untuk didiami.

“Kehidupan telah mula kembali, tetapi ia tidak seperti yang kami harapkan,” tambahnya.

Majlis perkahwinan kesemua pasangan pengantin itu dibiayai oleh Al Fares Al Shahim, sebuah badan bantuan kemanusiaan yang disokong oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Organisasi itu turut memberi mereka sejumlah kecil wang dan bekalan keperluan untuk memulakan kehidupan.

Encik Hikmat dan Cik Eman mengibarkan bendera Palestin bersama pasangan lain ketika mereka diarak dengan kereta.

Keluarga di sekeliling mereka pula menari mengikut rentak muzik yang berkumandang di tengah-tengah keriuhan suasana. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg