GAZA: Pengantin lelaki Palestin, Encik Mohammed Al-Ghandour, ingin memberikan pengantin perempuannya sebuah perkahwinan yang indah.
Namun selepas perang bermula di Gaza, mereka terpaksa melangsungkan hari bahagia mereka di bandar khemah tempat mereka berlindung sekarang.
Encik Ghandour memimpin tangan isterinya, Cik Shahad, menuju ke arah khemah yang dihiasi dengan beberapa lampu berwarna dan cermin berbingkai warna emas.
Cik Shahad, memakai gaun putih dan tudung dengan sulaman merah tradisional, menghulurkan tangannya bagi Encik Ghandour menyarungkan cincin.
“Saya mahukan majlis keramaian bagi meraikan hari bahagia kami. Saya juga mahu menjemput rakan-rakan saya, saudara-mara saya dan sepupu saya, seperti orang lain,” kata Encik Ghandour ketika ditemui di majlis pada 18 Januari.
Akibat perang, majlis mereka dihadiri sebahagian kecil kenalan dan saudara mara juga dari di bandar khemah berpagar kawat berduri di Rafah, selatan Gaza berhampiran sempadan Mesir.
Majlis turut diserikan dengan lagu-lagu yang dimainkan daripada alat muzik mudah alih.
Para jemputan diraikan dengan jamuan berupa makanan ringan yang dibungkus dalam plastik.
Pasangan itu berasal dari Bandar Gaza – kawasan di utara yang menjadi sasaran tentera Israel sejak perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Tindakan balas Israel sehingga kini telah membunuh lebih 24,760 rakyat Palestin.
Cik Shahad telah membelanjakan lebih AS$2,000 ($2,680) untuk menempah pakaian pengantinnya.
“Impian saya adalah untuk memberikan Shahad perkahwinan yang terbaik, yang paling indah di dunia,” kata ibunya, Cik Ummu Yahia Khalifa.
“Kami menyediakan barang perkahwinannya tetapi semuanya musnah akibat pengeboman Israel. Setiap kali dia teringat, dia mula menangis,” katanya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg