Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 maut, 50 cedera susuli rempuhan dalam kuil di Goa

Suasana tidak terkawal apabila orang ramai berasak selamatkan diri daripada kesesakan
May 3, 2025 | 4:58 PM
Seorang saksi memaklumkan suasana di sebuah kuil di Shirgaon,Goa, menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berasak cuba menyelamatkan diri daripada kesesakan.
Seorang saksi memaklumkan suasana di sebuah kuil di Shirgaon,Goa, menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berasak cuba menyelamatkan diri daripada kesesakan. - Foto Agensi

GOA: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan lebih 50 lagi cedera dalam kes rempuhan yang berlaku ketika perarakan keagamaan tahunan di sebuah kuil di Shirgaon, Goa, berlangsung awal pagi 3 Mei.

Kejadian tragik itu berlaku di Kuil Sree Devi Lairai, kira-kira 40 kilometer dari ibu negeri, Panaji, apabila ribuan orang yang berkumpul panik, mencetuskan suasana kelam-kabut dan rempuhan dalam kalangan orang ramai.

Seorang saksi memaklumkan suasana menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berasak cuba menyelamatkan diri daripada kesesakan. Mereka yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dan Ketua Menteri Goa, Encik Pramod Sawant, melahirkan rasa sedih atas kehilangan nyawa akibat tragedi berkenaan dan menyampaikan ucapan takziah serta sokongan kepada keluarga mangsa.

“Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang. Semoga yang cedera segera pulih. Pihak pentadbiran tempatan sedang membantu mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan pejabat Encik Modi di platform X.

Encik Sawant pula berkata beliau telah melawat hospital untuk bertemu mangsa yang cedera dan memberi jaminan akan menyediakan segala bentuk bantuan yang diperlukan.

“Perdana Menteri, Narendra Modi, telah menghubungi saya dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkembangan semasa serta menyatakan sokongan penuh beliau pada saat sukar ini,” tambahnya.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian, namun laporan awal menyatakan rempuhan itu berpunca daripada kesesakan melampau dan kekurangan kawalan orang ramai.

Perayaan jatra Lairai Devi merupakan acara tahunan yang disambut di kampung Shirgaon, Goa Utara.

Ia terkenal dengan upacara unik ‘Agnidivya’ (berjalan atas bara api), di mana penganut yang digelar Dhond berjalan tanpa alas kaki di atas bara api sebagai bentuk pemujaan dan memohon keberkatan.

Ribuan penganut dari Goa, Maharashtra dan Karnataka, hadir setiap tahun untuk menyertai pesta keagamaan itu. - Agensi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg