NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 15 orang maut dan 15 lagi cedera dalam satu rempuhan di stesen kereta api utama di ibu kota India, New Delhi, kata ketua menteri wilayah tersebut pada 16 Februari.
Kejadian tersebut berlaku sekitar 8 malam waktu tempatan (10.30 malam waktu Singapura) pada 15 Februari di dua platform ketika penumpang menunggu menaiki kereta api ke bandar Prayagraj, di mana festival Hindu Maha Kumbh sedang berlangsung, menurut laporan media.
Jumlah kematian termasuk 10 wanita dan tiga kanak-kanak, menurut media tempatan. Pihak media menunjukkan gambar dan video orang ramai yang sesak dan menolak satu sama lain di stesen tersebut, sementara polis dan pasukan bantuan berusaha meredakan kesesakan.
Ketua Menteri Delhi, Cik Atishi, berkata di laman media sosial X bahawa ramai daripada mangsa adalah penganut Hindu yang dalam perjalanan untuk menghadiri Maha Kumbh.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dan beberapa menteri persekutuan lain mengesahkan kejadian rempuhan di X tanpa menyatakan jumlah kematian.
“Sangat sedih dengan kejadian rempuhan di Stesen Kereta Api New Delhi. Simpati saya bersama mereka yang telah kehilangan orang tersayang,” kata Encik Modi di X.
Menteri Dalam Negeri India, Encik Amit Shah, berkata dalam satu hantaran di X bahawa beliau telah bercakap dengan Menteri Kereta Api dan menilai situasi tersebut.
Siasatan telah dimulakan dan empat kereta api khas dihantar untuk mengurangkan kesesakan di stesen, kata Menteri Kereta Api, Encik Ashwini Vaishnaw, di X, sambil menambah situasi kini terkawal.
“Pasukan kami sedang membantu mereka yang terjejas oleh kejadian ini,” katanya.
Kumbh Mela disambut setiap 12 tahun dan menarik berjuta-juta penganut Hindu ke Prayagraj. Jumlah penganut yang ramai itu yang menggunakan pengangkutan awam yang sesak sering mengundang bencana, lapor media tempatan.
Ini termasuk kemalangan pada Januari di mana sekurang-kurangnya 30 orang maut dalam rempuhan di persimpangan sungai Ganges, Yamuna, dan Saraswati.
Kesesakan di stesen kereta api New Delhi berlaku pada 15 Februari apabila orang ramai berasak-asak menaiki kereta api ke acara yang sedang berlangsung. Acara itu dijadual berakhir pada 26 Februari.
“Saya boleh mengesahkan 15 kematian di hospital. Kebanyakannya maut akibat hipoksia atau mungkin kecederaan lain, tetapi itu hanya akan disahkan selepas bedah siasat,” kata timbalan ketua perubatan Hospital Lok Nayak di New Delhi kepada AFP.
Menteri Pertahanan, Encik Rajnath Singh berkata beliau “amat sedih dengan kehilangan nyawa akibat rempuhan” di stesen kereta api New Delhi.
Kumbh Mela yang berlangsung selama enam minggu adalah acara terbesar dalam kalendar Hindu, dan pegawai berkata sekitar 500 juta penganut telah menghadiri festival itu sejak ia bermula pada Januari.
Lebih 400 orang maut akibat dipijak atau lemas pada 1954, dan 36 lagi maut akibat dihimpit pada 2013, ketika festival diadakan di Prayagraj. India juga menyaksikan beberapa kemalangan kereta api dalam dua tahun kebelakangan ini, termasuk perlanggaran pada 2023 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 288 orang.
Kereta api India adalah rangkaian kereta api keempat terbesar di dunia dan sedang menjalani naik taraf bernilai $30 bilion (S$40.2 bilion), sebagai sebahagian daripada usaha Encik Modi untuk meningkatkan ketersambungannya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg