TEHERAN: Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan terbunuh selepas pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di beberapa bandar Iran pada 1 Januari, menandakan kematian pertama sejak protes berkaitan kos sara hidup meletus pada 28 Disember.
Protes bermula di Teheran apabila peniaga melancarkan mogok sebagai bantahan terhadap kenaikan harga yang mendadak dan keadaan ekonomi yang terus merudum.
Sejak itu, demonstrasi berkenaan merebak ke beberapa wilayah lain di negara tersebut.
Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Fars, dua orang terbunuh dalam pertempuran di bandar Lordegan, wilayah Chaharmahal dan Bakhtiari, manakala tiga lagi dilaporkan maut di Azna, wilayah Lorestan yang bersempadan dengannya.
“Sebahagian penunjuk perasaan mula membaling batu ke arah bangunan pentadbiran bandar, termasuk pejabat gabenor wilayah, masjid, Yayasan Syuhada, dewan bandar raya dan bank,” lapor Fars mengenai kejadian di Lordegan.
Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.
Agensi itu melaporkan beberapa bangunan mengalami “kerosakan teruk” dan pihak berkuasa menahan beberapa individu yang dipercayai sebagai “dalang” oleh media pemerintah.
Di Azna pula, Fars melaporkan “perusuh mengambil kesempatan daripada perhimpunan protes untuk menyerang sebuah balai polis”.
Dalam liputan bantahan sebelum ini, media rasmi Iran sering merujuk penunjuk perasaan sebagai “perusuh”, istilah yang dipertikaikan oleh aktivis hak asasi manusia.
Pada awal 1 Januari, televisyen pemerintah Iran melaporkan seorang anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam bantahan di bandar Kouhdasht, juga di wilayah Lorestan.
“Seorang anggota Basij berusia 21 tahun dari bandar Kouhdasht terbunuh malam tadi oleh perusuh ketika mempertahankan ketenteraman awam,” lapor saluran itu, memetik Timbalan Gabenor Lorestan, Encik Said Pourali.
Basij ialah pasukan separa tentera sukarela yang mempunyai kaitan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, cabang ideologi angkatan tentera republik Islam itu.
Menurut Encik Pourali, sekurang-kurangnya 13 anggota polis dan Basij cedera akibat balingan batu semasa demonstrasi di Kouhdasht.
Di bandar Hamedan, penunjuk perasaan membakar sebuah motosikal dalam kejadian yang disifatkan agensi berita Iran, Tasnim, sebagai cubaan gagal untuk membakar sebuah masjid.
Tasnim turut melaporkan 30 orang ditahan di sebuah daerah di Teheran dalam satu “operasi bersepadu oleh pasukan keselamatan dan perisikan” atas dakwaan kesalahan mengganggu ketenteraman awam.
Bantahan kali ini lebih kecil berbanding gelombang kebangkitan besar pada 2022, yang tercetus selepas kematian, Cik Mahsa Amini, dalam tahanan polis moral.
Penahanan Cik Amini, yang didakwa melanggar kod pemakaian wanita Iran, mencetuskan kemarahan nasional dan mengorbankan ratusan nyawa, termasuk puluhan anggota keselamatan.
Penganalisis melihat perkembangan terkini sebagai petanda tekanan ekonomi yang semakin memuncak.
Demonstrasi kali ini mula merebak dengan lebih pantas selepas pelajar dari sekurang-kurangnya 10 universiti menyertai bantahan pada 30 Disember.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, cuba meredakan ketegangan dengan mengakui penunjuk perasaan mempunyai “tuntutan yang sah”, khususnya berkaitan kehidupan seharian dan ekonomi.
“Daripada perspektif Islam, jika kita gagal menyelesaikan isu kehidupan rakyat, kita akan berakhir di neraka,” kata Encik Pezeshkian, dalam satu acara yang disiarkan di televisyen pemerintah pada 1 Januari.
Beliau menggesa pemerintah bertindak segera untuk memperbaiki keadaan ekonomi.
Namun, pihak berkuasa turut memberi amaran mereka akan mengambil pendirian tegas terhadap sebarang cubaan mencetuskan kekacauan.
Pendakwa Raya Negara Iran menegaskan bantahan ekonomi secara aman adalah dibenarkan, tetapi sebarang usaha menukar bantahan kepada ancaman keselamatan akan ditangani secara tegas.
“Sebarang percubaan untuk menjadikan protes ekonomi sebagai alat mencetuskan rasa tidak aman, kemusnahan harta awam atau pelaksanaan agenda yang dirancang dari luar akan menerima tindak balas undang-undang yang tegas dan sepadan,” katanya.
Liputan media tempatan mengenai bantahan itu berbeza-beza, dengan sebahagian menumpukan kesukaran ekonomi rakyat, manakala yang lain menekankan kejadian keganasan dan peranan “pembuat kekacauan”.
Sementara itu, sebuah video tular yang memaparkan seorang individu duduk bersila di tengah jalan di Teheran berdepan barisan polis bermotosikal telah mencetuskan perbandingan dengan “detik Tiananmen”.
Namun televisyen pemerintah mendakwa rakaman itu telah direka untuk “mencipta simbol”, dan menyiarkan video lain yang didakwa dirakam dari sudut berbeza.
Bantahan itu berlaku ketika Iran berdepan tekanan ekonomi berpanjangan.
Nilai mata wang rial telah susut lebih satu pertiga berbanding dolar Amerika Syarikat sepanjang 2025, manakala inflasi berangka dua terus menghakis kuasa beli rakyat.
Menurut Pusat Statistik Iran, kadar inflasi pada Disember mencecah 52 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg