TEHERAN: Sebahagian peniaga di ibu negara Iran, Teheran menutup kedai mereka pada 29 Disember sebagai tanda protes terhadap kesukaran ekonomi yang semakin meruncing serta kejatuhan mendadak nilai mata wang negara itu, lapor media tempatan.
Tindakan itu menyusul demonstrasi serupa yang tercetus sehari sebelumnya, sekali gus menggambarkan kegelisahan yang semakin meluas dalam kalangan peniaga kecil dan sederhana yang terkesan langsung oleh tekanan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran.
Agensi berita rasmi Irna melaporkan bahawa beberapa peniaga dan pedagang di bazar Teheran telah “menutup atau menutup sebahagian kedai mereka”, manakala ada yang “melontarkan slogan membantah kadar pertukaran mata wang dan keadaan ekonomi semasa”.
Agensi Ilna pula melaporkan berlakunya protes peniaga “terhadap tekanan ekonomi dan kos sara hidup”, sambil menyiarkan imej pedagang berhimpun di jalan-jalan sekitar bazar.
Nilai mata wang Iran, rial, terus mencatat paras terendah baharu di pasaran tidak rasmi.
Pada 28 Disember, satu dolar Amerika Syarikat ($1.28) diniagakan sekitar 1.42 juta rial, berbanding kira-kira 820,000 rial setahun lalu.
Euro pula hampir mencecah 1.7 juta rial, menurut laman pemantauan harga. Pada 29 Disember, kadar tersebut susut sedikit, dengan dolar sekitar 1.39 juta rial dan euro kira-kira 1.64 juta rial.
Wartawan AFP di Teheran melaporkan bahawa sebahagian peniaga, khususnya penjual barangan elektronik yang bergantung kepada import, telah menghentikan jualan buat sementara waktu atau memindahkan penetapan harga ke platform dalam talian.
Langkah itu, menurut mereka, membolehkan harga diselaraskan dengan lebih cepat berikutan turun naik kadar pertukaran yang tidak menentu.
Sehari sebelumnya, agensi Isna melaporkan sekumpulan peniaga dan penjual telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah utama di Tehran telah menutup kedai mereka seketika sebagai protes terhadap “turun naik mendadak kadar pertukaran dan kerugian yang dialami pasaran telefon bimbit”.
Pada 29 Disember, beberapa peniaga memberitahu Ilna bahawa ketidakstabilan mata wang menyukarkan mereka menetapkan harga atau memuktamadkan urus niaga.
“Kami menjual sekadar untuk menampung kos,” kata seorang peniaga yang turut serta dalam protes.
“Tetapi perubahan harga yang mendadak menghalang kami daripada menggantikan stok,” katanya.
Agensi berita Fars yang cenderung kepada kelompok konservatif memberi amaran bahawa perhimpunan protes walaupun berskala kecil berpotensi mencetuskan ketidakstabilan jika tidak ditangani segera.
Ekonomi Iran sejak sekian lama berada di bawah tekanan akibat inflasi tinggi dan sekatan Barat berkaitan program nuklearnya.
Menurut statistik rasmi, kadar inflasi pada Disember lalu mencecah 52 peratus tahun ke tahun, walaupun angka itu masih dianggap tidak mencerminkan sepenuhnya kenaikan harga sebenar, terutama bagi barangan keperluan asas.
Pada 28 Disember, Presiden Iran Masoud Pezeshkian membentangkan belanjawan bagi tahun Parsi akan datang kepada Parlimen, dengan berikrar untuk memerangi inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.
Namun, belanjawan itu hanya memperuntukkan kenaikan gaji sebanyak 20 peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar inflasi semasa.
Seiring itu, Ketua Hakim Negara, Encik Gholamhossein Mohseni Ejei, menegaskan bahawa “sesiapa yang terlibat dalam penyorokan mata wang asing adalah penjenayah dan mesti ditangani dengan tegas”.
Agensi Mizan yang bernaung di bawah badan kehakiman melaporkan beliau turut menggesa “hukuman pantas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan turun naik mata wang”.
Pemerintah juga mengumumkan perubahan kepimpinan di bank pusat.
Menurut pegawai komunikasi presiden, Encik Mehdi Tabatabaei, Encik Abdolnasser Hemmati akan dilantik sebagai Gabenor Bank Pusat Iran.
Encik Hemmati sebelum ini pernah memegang jawatan menteri ekonomi dan kewangan, namun disingkirkan Parlimen pada Mac lalu susulan kejatuhan nilai rial.
Tekanan ekonomi turut diburukkan oleh pemulihan semula sekatan antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada akhir September, selepas sekatan berkaitan program nuklear Iran yang ditarik balik sedekad lalu dikuatkuasakan semula. \
Rundingan dengan Amerika masih tergendala, manakala ketidaktentuan susulan perang selama 12 hari dengan Israel pada Jun lalu turut menjejaskan prospek ekonomi.
Dalam satu wawancara sebelum ini, Presiden Pezeshkian menuduh Amerika, Israel dan kuasa Eropah melancarkan “perang menyeluruh” terhadap Iran, satu kenyataan yang mencerminkan tekanan geopolitik yang terus membayangi keadaan ekonomi negara itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg