Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes ekonomi merebak ke kampus universiti Iran

Dec 31, 2025 | 8:59 AM
Peniaga dan pedagang berhimpun di jalan raya bagi membantah keadaan ekonomi serta kejatuhan nilai mata wang Iran di Tehran pada 29 Disember 2025. Sebahagian peniaga di ibu negara itu menutup kedai mereka pada hari berkenaan sebagai tanda protes terhadap kesukaran ekonomi dan turun naik mendadak nilai rial Iran, menurut laporan media tempatan, susulan demonstrasi serupa sehari sebelumnya.
Peniaga dan pedagang berhimpun di jalan raya bagi membantah keadaan ekonomi serta kejatuhan nilai mata wang Iran di Tehran pada 29 Disember 2025. Sebahagian peniaga di ibu negara itu menutup kedai mereka pada hari berkenaan sebagai tanda protes terhadap kesukaran ekonomi dan turun naik mendadak nilai rial Iran, menurut laporan media tempatan, susulan demonstrasi serupa sehari sebelumnya. - Foto AFP

TEHRAN: Gelombang protes yang didorong oleh kemerosotan ekonomi di Iran terus merebak pada 30 Disember apabila ribuan pelajar universiti menyertai bantahan di beberapa bandar utama, termasuk Tehran, Isfahan dan Yazd, dengan laungan menuntut kebebasan serta pertembungan dengan pasukan keselamatan berhampiran beberapa kampus.

Menurut laporan media tempatan dan rakaman video yang tular di media sosial, demonstrasi pelajar itu menambah dimensi baru kepada protes yang bermula sejak 28 Disember yang pada awalnya diterajui oleh peniaga kecil dan pedagang bazar yang terkesan teruk akibat inflasi melambung tinggi serta kejatuhan nilai mata wang negara, rial Iran, ke paras terendah dalam sejarah.

Di Tehran sahaja, protes dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya di enam kampus universiti, termasuk Universiti Tehran, manakala perhimpunan serupa turut dikesan di Isfahan dan Yazd. Rakaman video menunjukkan pelajar melaungkan slogan seperti “Kebebasan! Kebebasan! Kebebasan!” dan “Jangan takut! Kita semua bersama!”

Pertembungan antara pelajar dan pasukan keselamatan tercetus berhampiran Universiti Tehran apabila polis dilihat menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai. Dalam satu video yang tular, seorang penunjuk perasaan duduk bersila di tengah jalan, berdepan secara berdiam diri dengan lebih 20 anggota polis bermotosikal yang lengkap berperisai. Adegan itu pantas mencetuskan perbandingan di media sosial, dengan sesetengah pemerhati menyifatkannya sebagai “detik Tiananmen Iran”.

Rakaman tersebut, yang disahkan oleh Agensi France-Presse (AFP), dipercayai dirakam di Jalan Jomhouri di pusat Tehran pada 29 Disember, hari kedua protes yang bermula di pasar telefon bimbit terbesar di bandar itu sebelum merebak ke kawasan lain.

Protes berterusan sejak 28 Disember itu tercetus susulan tekanan ekonomi yang semakin menghimpit kehidupan rakyat. Nilai rial Iran terus merosot dengan ketara, menyebabkan harga barangan import melonjak dan menjejaskan peniaga runcit. Pada hari protes bermula, dolar Amerika Syarikat diniagakan sekitar 1.42 juta rial (S$43.30) berbanding kira-kira 820,000 rial setahun lalu.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pada 30 Disember memberi amaran keras terhadap sebarang ancaman luar ketika tekanan domestik kian memuncak. Dalam satu hantaran di platform X, beliau menulis: “Tindak balas Republik Islam Iran terhadap sebarang pencerobohan zalim akan menjadi teruk dan mendatangkan penyesalan.”

Namun, pada masa yang sama, pemerintah dilihat cuba mengambil pendekatan lebih berdamai terhadap penunjuk perasaan. Presiden Pezeshkian memaklumkan beliau telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri untuk berinteraksi dengan “tuntutan sah” rakyat. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan ketua persatuan perniagaan, kesatuan, dewan perdagangan dan badan berkaitan bagi membincangkan keadaan ekonomi negara.

“Bantahan anda boleh difahami,” beliau dipetik sebagai berkata oleh agensi berita rasmi IRNA, sambil mengakui pentadbirannya mewarisi “masalah terkumpul sejak bertahun-tahun lalu”.

Jurucakap pemerintah, Cik Fatemeh Mohajerani, pula berkata Tehran merancang untuk membuka ruang dialog termasuk dengan penganjur protes. “Kami melihat betapa sukarnya kehidupan rakyat ketika ini,” katanya. “Kami melihat, mendengar dan mengiktiraf bantahan, krisis serta kekangan yang mereka hadapi.”

Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa pendekatan dialog ini mungkin berdepan cabaran besar. Ketua Eksekutif Bourse and Bazaar Foundation yang berpangkalan di London, Encik Esfandyar Batmanghelidj, berkata kegagalan kepimpinan Iran untuk mendengar tuntutan rakyat telah menghakis legitimasi dan autoriti mereka. “Ramai pemimpin Iran kini mula menyedari bahawa kegagalan memenuhi tuntutan sebahagian besar masyarakat telah menjejaskan asas kuasa mereka,” katanya. “Kesedaran ini berlaku secara lambat dan tidak tersusun.”

Menurut beliau, pemerintah sebelum ini enggan berunding kerana dialog akan memberikan pengiktirafan bukan sahaja kepada tuntutan penunjuk perasaan, tetapi juga kepada hak untuk membantah itu sendiri.

Dalam masa yang sama, beberapa agensi negara menuduh protes itu dipengaruhi pihak luar. Agensi berita separa rasmi Tasnim mendakwa “media dan tokoh Zionis” cuba menyelewengkan tuntutan rakyat dan mencetuskan kekacauan.

Pemerintah turut mengumumkan penutupan universiti, pejabat pemerintah dan pusat komersial di 18 daripada 31 wilayah Iran pada 31 Disember. Walaupun alasan rasmi adalah untuk penjimatan tenaga dan keselamatan cuaca sejuk, sesetengah penganalisis percaya langkah itu bertujuan menyekat momentum protes.

Di peringkat rakyat, tekanan ekonomi terus dirasai. Encik Saeed, seorang pemilik perniagaan berusia 37 tahun di Tehran, berkata inflasi telah mengubah sepenuhnya keutamaan hidupnya. “Saya sudah berhenti memikirkan untuk membeli rumah atau kereta,” katanya. “Sekarang, segalanya tentang bagaimana untuk terus hidup dan memberi makan kepada keluarga.”

Beliau menambah, ketidaktentuan mata wang menyebabkan peniaga enggan menjual barangan bernilai tinggi seperti emas dan elektronik. “Anda mula memotong perbelanjaan,” katanya. “Daripada hiburan, kemudian pendidikan, kemudian kesihatan – semuanya demi memastikan ada makanan di atas meja.”

Enam bulan selepas perang singkat tetapi sengit dengan Israel, yang turut menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat, kepimpinan Iran kini berdepan tekanan dalaman yang semakin memuncak. Sejarah protes besar di negara itu menunjukkan bahawa isu ekonomi, kebebasan sosial dan tadbir urus kekal menjadi punca kemarahan rakyat yang belum reda. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg