Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 maut dalam serangan Israel ke atas Houthi di Yaman

Israel turut serang Gaza, 45 orang terbunuh termasuk lima wartawan
Dec 27, 2024 | 12:41 PM
Imej daripada video yang disiarkan oleh saluran rasmi Al-Masirah TV milik Houthi di Yaman pada 26 Disember menunjukkan kerosakan teruk di menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa selepas serangan udara Israel.
Imej daripada video yang disiarkan oleh saluran rasmi Al-Masirah TV milik Houthi di Yaman pada 26 Disember menunjukkan kerosakan teruk di menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa selepas serangan udara Israel. - Foto AFP

SANAA: Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas beberapa sasaran yang dikaitkan dengan kumpulan Houthi di Yaman termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa.

Menurut laporan media Houthi, serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, memaklumkan bahawa beliau berada di lapangan terbang tersebut ketika serangan berlaku.

“Kami sedang bersiap sedia menaiki pesawat apabila letupan berlaku. Seorang kru pesawat cedera, manakala menara kawalan udara, ruang pelepasan dan landasan turut rosak,” katanya dalam satu kenyataan.

Tentera Israel turut menyasarkan pelabuhan Hodeidah, Salif dan Ras Kanatib di pantai barat Yaman, serta stesen jana kuasa Hezyaz dan Ras Kanatib.

Tiga kematian dilaporkan di lapangan terbang, manakala tiga lagi di Hodeidah dengan 40 cedera akibat serangan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa operasi terhadap Houthi baru sahaja bermula.

Kami hanya di permulaan kempen ini,” katanya kepada Channel 14.

Beliau menyifatkan serangan itu sebagai langkah tegas terhadap ancaman serantau yang disokong Iran.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pula menyifatkan serangan udara itu sebagai “amat membimbangkan”.

Beliau turut menggesa semua pihak agar menghentikan tindakan ketenteraan dan menunjukkan kawalan maksimum bagi mengelakkan peningkatan serangan lebih lanjut.

“Serangan ke atas pelabuhan Laut Merah dan lapangan terbang Sanaa menimbulkan risiko besar bagi operasi kemanusiaan, terutama apabila jutaan rakyat Yaman memerlukan bantuan genting,” kata jurucakap PBB itu.

Kementerian Pengangkutan Houthi memaklumkan bahawa lapangan terbang Sanaa dan pelabuhan Hodeidah akan beroperasi seperti biasa mulai 27 Disember.

Namun, serangan berterusan dikhuatiri menjejas rantaian bekalan bantuan antarabangsa.

Saluran televisyen, Al Masirah, yang dikendalikan oleh Houthi melaporkan bahawa kumpulan itu bersedia bertindak balas.

“Kami akan menghadapi peningkatan serangan dengan tindak balas yang setimpal,” kata jurucakap Houthi.

Sebelum ini, Houthi kerap melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, sebagai satu bentuk perpaduan dengan rakyat Palestin di Gaza.

Pada 21 Disember, tentera Israel gagal memintas sebuah peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman, menyebabkan 14 orang cedera di kawasan Tel Aviv-Jaffa.

Dalam perkembangan lain, serangan udara Israel di Gaza pada 26 Disember telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk pekerja hospital dan wartawan.

Lima kakitangan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia dilaporkan terbunuh, termasuk pakar kanak-kanak dan dua petugas ambulans.

Di tengah Gaza, saluran televisyen Palestin berkata lima wartawannya terbunuh dalam serangan Israel ke atas kenderaan mereka di Gaza, dengan tentera Israel berkata ia menyasarkan “sel pengganas”.

Ketua doktor Hospital Nasser di Khan Younis, Dr Ahmed al-Farra, melaporkan bahawa tiga bayi meninggal dunia akibat cuaca sejuk, menambah beban kepada keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

“Khemah perlindungan tidak mencukupi untuk melindungi penduduk daripada kesejukan malam, menyebabkan bayi baru lahir terdedah kepada risiko tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, tentera Israel berkata dua askar berusia 27 dan 35 tahun terbunuh di Gaza menjadikan askar Israel yang terkorban kepada 391, sejak permulaan operasi daratnya di wilayah Palestin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg