Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha gencatan senjata Gaza-Israel tunjuk kemajuan

Netanyahu: Beberapa kemajuan bagi rundingan membebaskan tebusan yang ditahan lebih 14 bulan di Gaza, sudah dicapai
Dec 24, 2024 | 1:33 PM
Ketua Biskop Baitulmaqdis, Pierbattista Pizzaballa (tengah), berdiri bersama orang ramai di luar Gereja Holy Family dalam persiapan menyambut Krismas di kejiranan al-Zaytoun, Bandar Gaza, pada 22 Disember 2024 di tengah-tengah rundingan  Israel-Hamas yang dijalankan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat di Doha sejak beberapa hari lalu, menghidupkan kembali harapan untuk memuktamadkan perjanjian yang selama ini sukar dicapai.
Ketua Biskop Baitulmaqdis, Pierbattista Pizzaballa (tengah), berdiri bersama orang ramai di luar Gereja Holy Family dalam persiapan menyambut Krismas di kejiranan al-Zaytoun, Bandar Gaza, pada 22 Disember 2024 di tengah-tengah rundingan Israel-Hamas yang dijalankan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat di Doha sejak beberapa hari lalu, menghidupkan kembali harapan untuk memuktamadkan perjanjian yang selama ini sukar dicapai. - Foto AFP

KAHIRAH: Jurang perbezaan antara Israel dan Hamas dalam perbincangan gencatan senjata di Gaza semakin mengecil, menurut kenyataan pegawai Israel dan Palestin pada Isnin. Namun begitu, beberapa isu penting masih kekal sebagai halangan utama untuk mencapai kesepakatan penuh.

Rundingan tidak langsung Israel-Hamas yang dijalankan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat di Doha sejak beberapa hari lalu, menghidupkan kembali harapan untuk memuktamadkan perjanjian yang selama ini sukar dicapai.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam ucapannya di parlimen Knesset, menyatakan bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan tebusan dengan Hamas.

“Saya secara berhati-hati menyatakan terdapat beberapa kemajuan, selain kita tidak akan berhenti bertindak sehingga membawa pulang semua tebusan.

“Saya mahu nyatakan kepada keluarga tebusan, kami sentiasa memikirkan anda dan tidak akan berputus asa menyelamatkan insan tersayang kita semua,” katanya. Namun, beliau mengakui masih belum dapat memastikan tempoh masa yang diperlukan untuk mencapai keputusan muktamad.

“Kami telah mencapai kejayaan besar di medan ketenteraan, yang berjaya memaksa Hamas melonggarkan tuntutan mereka,” kata Encik Netanyahu yang menyatakan kemajuan bagi rundingan membebaskan tebusan yang ditahan lebih 14 bulan di Gaza, sudah dicapai.

Seorang pegawai Palestin yang terlibat dalam rundingan menyatakan bahawa beberapa halangan telah diatasi, tetapi isu berkaitan identiti tahanan Palestin yang akan dibebaskan oleh Israel dan penempatan tentera Israel di Gaza masih menjadi perdebatan.

Perkembangan itu dimaklumkan selepas dua hari pejuang Palestin dalam kenyataan bersama, berkata perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan ‘semakin hampir berlaku, berbanding sebelum ini’.

Encik Netanyahu berkata, pihaknya ingin menandatangani perjanjian damai baharu dengan negara Arab, mirip ‘Perjanjian Abraham’ ketika penggal pertama pentadbiran Donald Trump di Amerika Syarikat, pada 2020.

Perjanjian itu menyaksikan Bahrain, Amiriah Arab Bersatu dan Maghribi menjalinkan hubungan rasmi dengan Israel.

“Negara Arab yang sederhana melihat Israel sebagai kuasa serantau dan sekutu berpotensi. Saya berhasrat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini. Saya bersama rakan Amerika, merancang mengembangkan Perjanjian Abraham, sekali gus mengubah wajah Asia Barat dengan lebih drastik,” kata Encik Netanyahu.

Beliau berkata, Israel juga tidak akan membenarkan ‘entiti pengganas menetap berhampiran komuniti mereka’ di kawasan sempadan dengan Syria.

“Ia adalah perjuangan untuk kewujudan Israel. Kita perlu mempertahankan sempadan kami,” kata Encik Netanyahu.

Menteri Diaspora Israel, Encik Amichai Chikli, mengesahkan bahawa kedua-dua isu tersebut masih dalam proses rundingan. Namun, beliau menegaskan bahawa pihak-pihak terlibat kini lebih hampir mencapai persetujuan berbanding situasi beberapa bulan yang lalu. “Gencatan senjata ini mungkin bertahan selama enam bulan atau sepuluh tahun, bergantung kepada dinamik yang terbentuk di lapangan,” kata Encik Chikli kepada Radio Kan Israel.

Encik Chikli menjelaskan bahawa peringkat pertama akan melibatkan fasa kemanusiaan selama 42 hari, termasuk pembebasan tebusan. Selepas itu, perbincangan lanjut akan diadakan untuk mencapai persetujuan penuh.

Encik Netanyahu juga memberi amaran kepada pemberontak Houthi dari Yaman yang melancarkan dua peluru berpandu ke Israel minggu lalu, dengan satu daripadanya mencederakan 16 orang di pusat perniagaan Tel Aviv, pada 21 Disember.

“Saya sudah mengarahkan pasukan kami memusnahkan infrastruktur Houthi kerana pihak yang cuba mencederakan kami akan diserang dengan kekuatan penuh. Kami akan terus hancurkan kekuatan jahat menggunakan kekuatan dan kepintaran, walaupun mengambil masa,” katanya.

Konflik tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke Israel, mengorbankan 1,200 nyawa dan membawa 251 tebusan ke Gaza. Sebagai tindak balas, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah meragut lebih 45,200 nyawa Palestin, menurut pegawai kesihatan di Gaza. Kebanyakan penduduk Gaza, yang berjumlah 2.3 juta, kini terpaksa hidup dalam keadaan berpindah-randah.

Pada 23 Disember sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel, termasuk empat orang yang bertugas melindungi trak bantuan ke Gaza. Hospital Kamal Adwan, salah sebuah hospital yang masih berfungsi di Gaza utara, menyeru bantuan segera selepas terkena tembakan.

“Kami menghadapi ancaman berterusan setiap hari,” kata Encik Hussam Abu Safiya, pengarah hospital tersebut.

Pihak Palestin menuduh Israel berusaha mengosongkan Gaza utara untuk mencipta zon penampan, tetapi Israel menafikan dakwaan itu. Israel menyatakan operasi mereka di kawasan utara, termasuk Beit Lahiya, Beit Hanoun, dan Jabalia, menyasarkan pejuang Hamas.

Pada masa yang sama, ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, menyatakan usaha untuk menyampaikan bantuan di Gaza utara dihalang oleh tentera Israel. “Gaza utara berada di bawah pengepungan hampir sepenuhnya selama lebih dua bulan, mencetuskan kebuluran,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg