Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel mahu kawal Gaza, wujudkan zon penampan, pusat kawalan

Hamas, Israel saling tuduh lengahkan gencatan senjata
Dec 26, 2024 | 1:08 PM
Pada 25 Disember, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, melawat Gaza dan mendakwa anggotanya meranapkan dua terowong di selatan dan tengah Gaza. Rakaman video dikeluarkan pada tarikh yang sama lawatannya itu.
Pada 25 Disember, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, melawat Gaza dan mendakwa anggotanya meranapkan dua terowong di selatan dan tengah Gaza. Rakaman video dikeluarkan pada tarikh yang sama lawatannya itu. - Foto KEMENTERIAN PERTAHANAN ISRAEL

GAZA: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan bahawa Israel tidak akan melepaskan kawalan keselamatan ke atas Gaza, walaupun rundingan ke arah gencatan senjata dan pembebasan tebusan sedang berlangsung.

Kenyataan itu dibuat semasa lawatan beliau ke Koridor Philadelphi, sebuah kawasan di sempadan Gaza-Mesir yang dianggap strategik oleh Israel untuk mencegah kegiatan penyeludupan antara Sinai dengan Gaza.

Semasa lawatan tersebut, Encik Katz bertemu dengan komander dan menerima taklimat mengenai keadaan semasa.

Beliau menegaskan: “Kami akan memastikan bahawa kawalan keselamatan berada di tangan Angkatan Pertahanan Israel (IDF), yang akan diberi kuasa untuk bertindak di mana-mana sahaja bagi mencegah sebarang ancaman.”

Beliau turut menambah: “Kami akan memastikan terdapat zon keselamatan, zon penampan dan pusat strategik yang akan menjamin keselamatan bandar-bandar.”

Encik Katz menegaskan bahawa tidak akan ada pemerintahan atau kekuatan tentera Hamas di Gaza, dan Israel berhasrat untuk mewujudkan realiti baru hasil daripada pertempuran yang sedang berlangsung.

Kenyataan Katz itu mencerminkan pendirian tegas Israel untuk mengekalkan kehadiran tenteranya di kawasan tertentu di Gaza, terutama di Koridor Philadelphi, bagi memastikan keselamatan negara tersebut.

Koridor Philadelphi merupakan jalur tanah yang memisahkan Gaza dan Mesir. Ia telah lama menjadi kawasan pergolakan bagi kegiatan penyeludupan senjata dan barangan lain.

Dengan mengekalkan kawalan di kawasan itu, Israel berharap dapat menghalang sebarang usaha penyeludupan yang boleh mengancam keselamatannya.

Walaupun rundingan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan sedang berlangsung dengan pengantaraan negara seperti Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, kenyataan Encik Katz menunjukkan Israel tidak akan bertolak ansur mengenai aspek keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Hamas menuduh Israel menetapkan syarat baru dalam rundingan gencatan senjata, yang menyebabkan kelewatan dalam mencapai perjanjian.

Israel menafikan dakwaan tersebut dan menuduh Hamas mencipta halangan baru dalam rundingan.

Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, menggesa kepimpinan negara itu agar bergerak ke arah mencapai perjanjian, dengan menyatakan bahawa tebusan berada dalam bahaya pada bila-bila masa.

Israel menekankan keperluan untuk mengekalkan kawalan keselamatan bagi melindungi rakyatnya.

Di pihak lain, Hamas dan penduduk Gaza melihat kehadiran tentera Israel sebagai halangan ke arah mencapai kedaulatan dan kebebasan mereka.

Hamas berkata tuntutan terbaru Israel melibatkan pengunduran tentera, syarat gencatan senjata yang diusulkan, kemungkinan pembebasan tahanan di penjara Israel, serta “kepulangan penduduk yang dipindahkan” kembali ke rumah mereka di Gaza.

Ia tidak menyatakan secara terperinci apakah syarat yang ditetapkan oleh Israel.

Kenyataan dari pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Ia menuduh “Hamas sekali lagi berbohong, memungkiri persefahaman yang telah dicapai, dan terus mencipta halangan baru dalam rundingan”.

Beberapa hari lalu, kedua-dua pihak melaporkan kemajuan.

Encik Netanyahu pada 23 Disember memberitahu sesi Parlimen bahawa terdapat “beberapa kemajuan” dalam rundingan tersebut, dua hari selepas Hamas dan kumpulan Palestin lain berkata perjanjian gencatan senjata “lebih dekat berbanding sebelumnya”.

Sementara itu, pertempuran di Gaza terus berlanjutan.

Menurut laporan, serangan udara Israel pada 25 Disember telah mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang.

Di Bandar Gaza, empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh apabila khemah pelarian dibedil.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, menyatakan 25 orang lagi cedera dalam serangan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg