KAHIRAH: Enam warga Russia maut dan 39 pelancong asing diselamatkan apabila sebuah kapal selam yang mempunyai kemudahan untuk melihat bawah permukaan laut, dilaporkan karam di tepi pusat peranginan Laut Merah Mesir di Hurghada pada 27 Mac, kata pejabat gabenor tempatan di Facebook, sambil menambah tiada penumpang atau anak kapal dilaporkan hilang.
Pejabat berkenaan berkata ketika kejadian sekitar 10 pagi itu, kapal selam bernama “Sindbad”, membawa 50 orang - 45 pelancong dari Russia, India, Norway, dan Sweden, dan lima anak kapal Mesir.
Agensi berita negara Russia memetik Konsul Jeneral Encik Viktor Voropaev sebagai berkata bahawa dua daripada mangsa yang maut adalah di bawah umur.
“Kebanyakan penumpang diselamatkan dan dibawa ke hotel dan hospital di Hurghada,” kata konsulat Russa di Hurghada.
Mereka menambah bahawa kapal itu telah membawa “45 pelancong, termasuk kanak-kanak bawah umur” dalam lawatan bawah air untuk melihat terumbu karang apabila ia “terhempas satu kilometer daripada pantai” sekitar 10 pagi.
Kapal selam itu dilengkapi dengan tingkap besar untuk membolehkan penumpang melihat batu karang dan hidupan marin yang menakjubkan di Laut Merah, dan mampu turun ke kedalaman 25 meter, menurut laman web syarikat itu.
Pihak berkuasa Mesir sedang jalankan penyiasatan melibatkan anak kapal untuk menentukan punca kapal selam itu karam, kata gabenor wilayah Laut Merah, Encik Amr Hanafy.
Kapal selam itu, yang dimiliki oleh seorang warga Mesir, mempunyai lesen dan begitu juga kaptennya, kata beliau.
Hurghada, sebuah bandar peranginan kira-kira 400 kilometer di tenggara ibu negara Mesir Kahirah, merupakan destinasi utama bagi pelancong, dengan lapangan terbangnya menerima lebih sembilan juta penumpang tahun lalu, menurut media pemerintah
Ramalan cuaca di bandar itu adalah jelas, dengan kelajuan angin melebihi purata tetapi penglihatan optimum di bawah air
Kapal itu telah beroperasi di kawasan itu selama beberapa tahun, menurut sumber yang biasa dengan syarikat itu.
Kawasan itu telah menjadi tapak beberapa kemalangan maut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada November, sebuah bot aktiviti menyelam terbalik di luar pantai Marsa Alam, selatan Hurghada, menyebabkan empat maut dan tujuh hilang. Tiga puluh orang diselamatkan dari sebuah lagi bot karam, manakala pada Jun lalu beberapa pelancong Perancis telah selamat dipindahkan sebelum bot mereka karam dalam kemalangan serupa. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg