KAHIRAH: Pemerintah Mesir akan membatalkan lesen 16 syarikat pelancongan haji yang terlibat dalam menganjurkan haji secara tidak sah ke Makkah.
Ia juga akan mengheret pengurus syarikat itu kepada pendakwa raya.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 22 Jun.
Ini menyusuli laporan yang menonjolkan keadaan meragukan bagaimana beberapa syarikat pelancongan beroperasi selepas ratusan anggota jemaah haji meninggal dunia dalam cuaca panas terik.
Angka rasmi kematian semasa menunaikan haji dalam kalangan rakyat Mesir adalah 31 orang.
Namun, agensi berita Reuters dan media lain melaporkan seramai 500 hingga 600 rakyat Mesir meninggal dunia semasa menunaikan haji.
Pengiraan CNN meletakkan jumlah kematian anggota jemaah haji negara itu hampir 500 tetapi angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Laporan itu, yang disemak oleh Kabinet Mesir, berkata beberapa pengendali tidak mengeluarkan visa yang betul.
Maka pemegangnya tidak boleh memasuki kota suci Makkah dan sebaliknya terpaksa masuk “melalui laluan padang pasir dengan berjalan kaki”.
Ia turut menuduh beberapa syarikat gagal menyediakan penginapan yang sewajarnya, sehingga menyebabkan jemaah terdedah kepada cuaca panas.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly, menyampaikan “takziah dan simpati” kepada keluarga anggota jemaah haji yang meninggal dunia.
Beluau turut komited untuk menghulurkan sokongan dan bantuan yang diperlukan.
Permit haji diperuntukkan kepada negara yang menggunakan sistem kuota, dan Arab Saudi mewajibkan setiap anggota jemaah haji memperoleh permit sah yang tersedia untuk memasuki Makkah secara sah.
Tetapi memandangkan kos mendapatkan lesen itu menelan kos yang tinggi, ramai anggota jemaah cuba melaksanakan haji secara haram.
Mereka lazimnya tidak melakukan perjalanan mengikut bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg