AFGHANISTAN: Satu letupan berhampiran sebuah sekolah di wilayah Kunar, timur laut Afghanistan, mengorbankan tujuh pelajar dan mencederakan sehingga 99 yang lain pada 28 November, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taleban.

Laporan awal menunjukkan letupan itu bermula di sebuah depoh penyimpanan bahan letupan milik syarikat perlombongan berhampiran sekolah itu, kata jurucakap, Encik Abdul Mateen Qani, dalam satu kenyataan. 

Wilayah Kunar, yang bersempadan dengan Pakistan, menempatkan beberapa operasi perlombongan.

Letupan itu berlaku di kawasan Andarsir di daerah Asadabad, kata Encik Mateen, sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat dan akan mengeluarkan butiran lanjut selepas siasatan selesai.

Pada Ogos, satu letupan di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul, mencederakan sekurang-kurangnya 42 kanak-kanak, menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan yang dikenali sebagai Unama. 

Sebuah hospital di Kabul yang menerima sekurang-kurangnya 35 pelajar yang cedera berkata semua pesakit berusia antara 10 hingga 14 tahun. – Reuters.