Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima tahun dikuasai Taleban: Afghanistan lebih aman, cabaran pendidikan wanita kekal
Sekitar 2.4j wanita dan kanak-kanak perempuan tidak dapat pendidikan menengah sejak 2021
KABUL: Lima tahun selepas Taleban kembali memerintah Afghanistan, negara yang selama beberapa dekad dibelenggu perang kini menikmati tahap keselamatan dan kestabilan yang lebih baik, tetapi masih berdepan cabaran besar untuk memastikan kemajuan itu turut membuka peluang pendidikan dan penyertaan lebih luas kepada wanita dan kanak-kanak perempuan.
Taleban kembali menguasai Kabul pada Ogos 2021 selepas dua dekad peperangan, menyusuli pengunduran tentera Amerika Syarikat dan sekutunya.
Berakhirnya perang berskala besar membawa perubahan ketara kepada kehidupan harian rakyat Afghanistan.
Pertempuran antara Taleban dengan tentera asing dan pasukan keselamatan pemerintah terdahulu tidak lagi menjadi sebahagian rutin harian di banyak kawasan.
Namun, ketika Afghanistan memasuki tahun keenam di bawah Taleban, perhatian antarabangsa semakin tertumpu kepada satu lagi cabaran penting bagi masa depan negara itu – pendidikan wanita dan kanak-kanak perempuan.
Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), sekitar 2.4 juta kanak-kanak perempuan kini tidak dapat mengikuti pendidikan menengah sejak Taleban kembali berkuasa pada 2021.
Jumlah itu meningkat sekitar 200,000 berbanding 2025 dan boleh mencecah hampir empat juta menjelang 2030 sekiranya larangan berkenaan berterusan.
Afghanistan kini satu-satunya negara di dunia yang secara rasmi tidak membenarkan kanak-kanak perempuan meneruskan pendidikan melepasi peringkat sekolah rendah.
Sekolah menengah untuk pelajar perempuan ditutup pada Mac 2022, manakala wanita tidak lagi dibenarkan mengikuti pendidikan universiti mulai akhir tahun sama.
Taleban mempertahankan dasar tersebut berdasarkan tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam.
Bagaimanapun, Unesco menggesa pihak berkuasa Afghanistan mempertimbangkan semula dasar itu dan mengembalikan sepenuhnya peluang pendidikan kepada wanita serta kanak-kanak perempuan.
“Kanak-kanak perempuan dan wanita Afghanistan mempunyai hak untuk belajar. Itu adalah hak asasi manusia,” kata penyelaras program pendidikan dalam keadaan kecemasan Unesco, Cik Hoda Jaberian.
“Mereka mempunyai hak untuk bekerja. Mereka juga seharusnya mempunyai kebebasan bergerak,” tambahnya.
Menurut Unesco, keadaan sekarang turut menjejaskan kemajuan pendidikan yang dicapai Afghanistan sepanjang dua dekad sebelum Taliban kembali berkuasa.
Ketika akses pendidikan untuk kanak-kanak perempuan amat terbatas pada 2001, hampir sejuta daripada mereka sudah mengikuti pendidikan menengah menjelang 2021.
Cabaran pendidikan itu bukan sahaja memberi kesan kepada wanita, malah boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi Afghanistan dalam jangka panjang.
Unesco menganggarkan sekatan pendidikan dan pekerjaan terhadap wanita serta kanak-kanak perempuan boleh menyebabkan Afghanistan kehilangan sekitar AS$9.6 bilion ($12.3 bilion) menjelang 2066.
Pada masa sama, sistem pendidikan Afghanistan secara keseluruhan turut berdepan tekanan besar.
Lebih separuh kanak-kanak usia sekolah rendah dilaporkan tidak bersekolah, sementara lebih 90 peratus kanak-kanak berusia 10 tahun tidak mampu membaca teks mudah.
Kekurangan air minuman, kemudahan kebersihan dan sistem pemanasan di sekolah turut menjejaskan pembelajaran, terutama di kawasan luar bandar.
Bencana alam, termasuk beberapa gempa bumi yang melanda Afghanistan sejak beberapa tahun lalu, menambahkan tekanan terhadap prasarana pendidikan.
Kepulangan lebih tujuh juta rakyat Afghanistan sejak 2023, sama ada secara sukarela atau selepas dihantar pulang dari negara jiran, turut meningkatkan permintaan terhadap sekolah dan perkhidmatan asas.
Dalam pada itu, laporan Wanita PBB menunjukkan kehidupan wanita Afghanistan masih menghadapi banyak batasan.
Lebih 160 peraturan dan arahan berkaitan wanita dan kanak-kanak perempuan dilaporkan diperkenalkan sejak 2021, merangkumi pendidikan, pekerjaan, pergerakan dan penyertaan dalam kehidupan awam.
Satu tinjauan membabitkan kira-kira 5,000 rakyat Afghanistan di kawasan bandar dan luar bandar mendapati lelaki dan wanita sama-sama menghadapi kesukaran, tetapi atas sebab berbeza.
Sekitar 55 peratus lelaki berkata kehidupan mereka lebih buruk daripada yang dijangkakan sebelum Ogos 2021, terutama disebabkan kekurangan peluang ekonomi.
Dalam kalangan wanita, angkanya lebih tinggi pada 65 peratus, dengan ramai menyatakan selain tekanan ekonomi, mereka turut terjejas akibat peluang pendidikan dan pekerjaan yang semakin terhad.
Sekitar 90 peratus wanita yang ditinjau berkata mereka memerlukan kebenaran anggota keluarga lelaki untuk keluar rumah, sementara lebih separuh hanya meninggalkan rumah sekali atau dua kali sebulan.
Sebaliknya, lebih 95 peratus responden lelaki berkata mereka keluar rumah setiap hari.
Walaupun cabaran itu besar, usaha memperluaskan semula pendidikan wanita boleh menjadi antara langkah penting untuk membantu Afghanistan memanfaatkan kestabilan keselamatan yang dicapai sejak berakhirnya perang berskala besar.
Pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja dapat membuka peluang kepada jutaan kanak-kanak perempuan, malah menyediakan tenaga kerja terlatih yang diperlukan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan ekonomi.
Bagi Afghanistan, keamanan selepas berdekad-dekad konflik menyediakan asas penting untuk membina semula negara.
Cabaran seterusnya ialah memastikan kestabilan tersebut diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan peluang yang dapat dinikmati seluruh masyarakat.
Selepas lima tahun perubahan besar, masa depan Afghanistan kini banyak bergantung kepada sejauh mana negara itu dapat mengimbangi kestabilan yang dicapai dengan keperluan membangunkan modal insan, termasuk membuka semula ruang pendidikan kepada jutaan wanita dan kanak-kanak perempuan. – Agensi berita.
