Topik diikuti
Pergi ke BHku72 suspek pembakaran tanah ditahan, Indonesia perhebat perangi kebakaran
JAKARTA : Polis Indonesia menamakan 72 suspek dalam tindakan besar-besaran membanteras pembakaran tanah secara sengaja, ketika kebakaran hutan dan tanah terus melanda beberapa wilayah di Kalimantan dan Sumatera.
Tindakan itu dipertingkat selepas Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengarahkan tindak balas segera terhadap beberapa bencana yang melanda negara itu, termasuk usaha mengawal kebakaran tanah yang semakin meluas.
Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim) berkata pada 23 Ogos bahawa siasatan polis di lima wilayah di Kalimantan dan empat di Sumatera menemui bukti yang menunjukkan sebahagian kebakaran yang dikesan menerusi pemantauan satelit dipercayai sengaja dimulakan.
Riau mencatatkan jumlah suspek tertinggi, dengan 35 orang dinamakan selepas polis menyiasat kebakaran susulan pengesanan lebih 1,200 titik panas.
Ia diikuti Sumatera Selatan dengan 17 suspek dan Kalimantan Tengah, 11 suspek. Polis tidak mendedahkan identiti mereka.
Pengarah Jenayah Khas Bareskrim, Encik Mohammad Irhamni, berkata motif utama dipercayai berkaitan usaha membuka tanah untuk kegiatan pertanian, khususnya penanaman kelapa sawit.
“Motifnya jelas untuk membuka tanah. Ketika musim kemarau, sangat mudah untuk membakar tanah sebelum menanam kelapa sawit apabila musim hujan tiba,” katanya dalam satu taklimat media pada 23 Ogos.
Menurut beliau, bahan bukti yang dirampas, termasuk mancis dan anak pokok kelapa sawit, menguatkan syak bahawa tanah sengaja dibakar bagi mengurangkan kos membersihkannya untuk penanaman.
Amalan menggunakan api untuk membuka tanah sejak sekian lama dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah yang berulang di Indonesia ketika musim kemarau, sekali gus meningkatkan risiko jerebu.
Tindakan penguatkuasaan terbaru itu dilakukan ketika kebakaran semakin serius di Kalimantan.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), kebakaran dianggarkan menjejas sekitar 38,310 hektar tanah di Kalimantan Barat, 7,634 hektar di Kalimantan Tengah dan 8,620 hektar di Kalimantan Selatan.
Pemangku jurucakap BNPB, Encik Berton Panjaitan, berkata operasi memadam kebakaran kini ditumpukan kepada tiga wilayah tersebut.
“Kami menumpukan usaha memadam kebakaran di tiga wilayah itu,” katanya.
Pemantauan satelit terus mengesan ribuan titik panas, termasuk lebih 2,700 di Kalimantan Barat dan hampir 2,500 di Kalimantan Tengah.
Pihak berkuasa turut meningkatkan siasatan terhadap syarikat yang memegang konsesi tanah di Kalimantan, dengan kawasan luas di pulau itu diperuntukkan bagi kegiatan perladangan, perhutanan dan perlombongan.
Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata empat syarikat di Kalimantan Barat sedang disiasat berhubung kemungkinan terbabit dalam kebakaran tersebut.
“Jika kami mendapati terdapat pelanggaran oleh syarikat berkenaan, permit perniagaan mereka akan ditarik balik,” katanya di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, pada 22 Ogos.
Walaupun kebanyakan suspek yang ditahan mendakwa bertindak atas kehendak sendiri, polis turut menyiasat kemungkinan sebahagian daripada mereka menerima pembiayaan atau arahan daripada syarikat tertentu.
Encik Irhamni berkata polis akan meneliti transaksi kewangan suspek bagi menentukan sumber dana yang digunakan.
“Kami akan melihat transaksi kewangan suspek, sama ada kos itu ditanggung sendiri atau terdapat aliran dana daripada syarikat yang mengarahkan mereka melakukan pembakaran,” katanya.
Kebakaran yang semakin buruk itu mendorong Encik Prabowo terbang ke Kalimantan Barat pada 22 Ogos bagi meninjau keadaan.
Tidak lama selepas tiba, beliau mengadakan pertemuan dengan menteri, pegawai pengurusan bencana dan pihak berkuasa tempatan bagi menilai operasi sebelum melawat salah satu kawasan terjejas di Kubu Raya.
Encik Prabowo mengarahkan semua sumber yang diperlukan digerakkan dengan segera bagi menghalang kebakaran sedia ada daripada merebak dan mencegah kemunculan titik kebakaran baharu.
Pemerintah Indonesia turut mengerahkan tiga batalion tambahan tentera membabitkan sekitar 1,500 anggota, selain helikopter, pam air dan peralatan memadam kebakaran.
“Perkara paling penting ialah kita segera menghentikan kebakaran daripada terus merebak dan mencegah kemunculan titik kebakaran baharu,” kata Encik Prabowo.
“Dalam sejarah, kita pernah menghadapi kebakaran tanah yang lebih buruk, jadi saya yakin kita dapat mengawal keadaan ini.”
Beliau menegaskan pemerintah “akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbukti bersalah” melakukan pembakaran tanah secara haram.
Menjelang 23 Ogos, keadaan awan di Kalimantan bertambah baik, membolehkan operasi pengubahsuaian cuaca disambung semula.
Ketua BNPB, Encik Suharyanto, berkata sebanyak 30 helikopter turut dikerahkan untuk operasi pengeboman air dan rondaan udara di seluruh Kalimantan.
Menurut beliau, usaha memadam kebakaran di Kalimantan lebih mencabar kerana banyak kebakaran berlaku di kawasan tanah gambut, manakala keadaan di Sumatera dilaporkan lebih terkawal.
Tumpuan Encik Prabowo terhadap kebakaran itu berlangsung ketika Indonesia turut menangani kesan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda Flores di Nusa Tenggara Timur (NTT) pada 15 Ogos, menyebabkan kematian, kerosakan meluas dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sehingga 23 Ogos, Encik Prabowo belum melawat kawasan terjejas akibat gempa tersebut.
Gabenor NTT, Encik Melki Laka Lena, berkata lawatan Presiden ke Nagekeo yang pada awalnya dirancang pada 22 Ogos ditangguhkan sehingga “Isnin atau Selasa”, tanpa menjelaskan sebabnya.
“Kami masih membuat persiapan bagi lawatan Encik Prabowo ke NTT. Ia akan berlangsung tidak lama lagi,” kata Encik Prasetyo. - Agensi berita
