PETALING JAYA: Malaysia menggesa anggota Asean agar segera memperkukuh benteng pertahanan bagi mengekang ancaman jerebu rentas sempadan.

Ini memandangkan keadaan cuaca kering mendorong mutu udara mencapai tahap tidak sihat di beberapa negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menegaskan, Malaysia kekal komited merealisasikan matlamat Asean bebas jerebu menjelang 2030, menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Beliau berkata Malaysia telah menyampaikan pendiriannya melalui mesej rasmi kepada Setiausaha Agung Asean, Encik Kao Kim Hourn, pada 21 Ogos.

Seruan itu dibuat ketika 11 wilayah di Sarawak dan Melaka mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat setakat 8 pagi 22 Ogos, berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara.

Serian mencatat bacaan IPU tertinggi di Malaysia iaitu 190, diikuti Kuching (181); Samarahan (177); Sri Aman (174); Sarikei (172); Sibu (160); Bintulu (157); Samalaju (156); Mukah (156); Miri (152); dan Bukit Rambai di Melaka (140).

Datuk Kurup berkata cuaca kering yang berpanjangan di rantau Asean selatan telah mengakibatkan peningkatan titik panas dan masalah jerebu.

Menurutnya, keadaan boleh menjadi lebih meruncing kerana fenomena El Nino dijangka bertambah buruk secara beransur-ansur dalam beberapa bulan akan datang.

“Walaupun kebakaran kini masih terkawal di sempadan negara anggota Asean, namun risiko jerebu rentas sempadan memerlukan persediaan kolektif dan peningkatan kewaspadaan di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Ogos.

Menurutnya, pencemaran jerebu rentas sempadan yang disebabkan oleh kebakaran tanah dan hutan mesti ditangani secara bersama melalui tindakan pencegahan, persediaan negara dan pemantauan berterusan berdasarkan prinsip AATHP.

Datuk Kurup menggesa negara anggota Asean supaya memantau kawasan berisiko tinggi dengan teliti, meningkatkan pengawasan titik panas, menguatkuasakan sekatan pembakaran terbuka dan memastikan kesiapsiagaan memadam kebakaran yang cekap bagi mencegah kebakaran daripada merebak.

Sementara itu, 57 kawasan di Malaysia mencatat bacaan IPU sederhana, manakala tiada yang mencatatkan mutu udara yang baik.

Antara kawasan dengan bacaan sederhana tertinggi ialah Kapit dan Johan Setia di Selangor, kedua-duanya pada 97, diikuti oleh Shah Alam dan Miri pada 89.

Sungai Petani dan Politeknik Kota Kinabalu mencatatkan 87, Tawau pada 84; manakala Minden di Pulau Pinang dan Kuala Selangor mencatatkan 83.

Putrajaya mencatatkan 82, manakala Seberang Perai dan Seri Manjung mencatatkan 81.

Bacaan IPU antara sifar dengan 50 menunjukkan mutu udara yang baik; 51 hingga 100 sederhana; 101 hingga 200 tidak sihat; 201 hingga 300 sangat tidak sihat; manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pemantauan mutu udara di serata Malaysia.

Malaysia turut mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat Asean sebagai Pusat Penyelarasan Sementara Asean untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras langkah persediaan antara negara anggota dan memperkukuh kerjasama di bawah AATHP. – Agensi berita.