KALIMANTAN: Kebakaran hutan semakin meluas di seluruh Kalimantan, Indonesia, dengan peningkatan mendadak titik panas menyebabkan beberapa wilayah diselubungi jerebu tebal sehingga menjejas kesihatan, sekolah, penerbangan dan kegiatan ekonomi.

Pasukan pemadam kebakaran pula berdepan kesukaran mengawal kebakaran, terutama di kawasan tanah gambut apabila api yang berjaya dipadamkan kembali marak akibat keadaan kering.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) pada 21 Ogos memberi amaran risiko kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Sumatera, Jawa dan Kalimantan, dijangka mencapai kemuncak antara Ogos dengan September 2026.

Keadaan itu dikaitkan dengan fenomena El Nino kuat yang menyebabkan musim kemarau lebih panjang dan kering.

Sehingga Jun, lebih 107,000 hektar hutan dan tanah dilaporkan terbakar di seluruh Indonesia.

Di Kalimantan Timur sahaja, Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) merekodkan 413 lokasi kebakaran dengan keseluruhan 936.95 hektar kawasan terjejas.

Kutai Barat mencatat kawasan terbakar paling luas, iaitu 269.34 hektar daripada 70 kejadian; manakala Paser merekodkan jumlah kejadian tertinggi dengan 85 kes; diikuti Samarinda dengan 75.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pada dasarnya semua wilayah mengalami kebakaran hutan dan tanah, cuma keluasan dan skalanya berbeza,” kata seorang pegawai BPBD.

Keadaan lebih serius turut dilaporkan di Kotawaringin Barat, Kalimantan Tengah, sehingga pihak berkuasa melanjutkan status darurat sehingga 4 September.

Di daerah itu, 859.49 hektar tanah terbakar dalam 189 kejadian, dengan 461 titik panas dikesan.

Kumai antara kawasan paling teruk terjejas apabila 584.41 hektar terbakar; manakala Arut Selatan mencatat 98 kejadian membabitkan 180.48 hektar.

Jerebu turut menjejas sektor pendidikan.

Di beberapa kawasan, waktu persekolahan bagi sekolah rendah dan menengah ditangguhkan sehingga 8 pagi, manakala murid pendidikan awal kanak-kanak diarah mengikuti pembelajaran dari rumah bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Operasi penerbangan turut terjejas.

Semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Singkawang di Kalimantan Barat dibatalkan pada 21 Ogos selepas jerebu menyebabkan jarak penglihatan merosot di bawah tahap selamat untuk penerbangan.

Ketua Unit Perkhidmatan Lapangan Terbang Singkawang, Encik Ilham Hafizi, berkata keadaan jerebu semakin buruk sejak beberapa hari lalu.

“Keadaan jerebu sekarang semakin teruk sehingga jarak penglihatan masih berada di bawah piawaian,” katanya.

Super Air Jet membatalkan penerbangannya sehingga 23 Ogos, manakala TransNusa membuat keputusan pembatalan berdasarkan keadaan semasa setiap hari.

Jerebu tebal turut menyelubungi Pontianak di Kalimantan Barat dan Palangka Raya di Kalimantan Tengah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya IV Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Encik Alex Indra Lukman, menggesa pemerintah agar mengambil langkah luar biasa dan menjadikan kebakaran Kalimantan sebagai keutamaan nasional.

Beliau mengingatkan bahawa kebakaran ketika El Nino 1997-1998 memusnahkan lebih sembilan juta hektar kawasan di Kalimantan.

“Peristiwa itu kemudian menjadi bencana alam sekitar terbesar di Asia Tenggara pada abad ke-20. Ini tidak boleh berulang sekarang,” katanya.

Menurut beliau, pemerintah perlu memperkukuh pengesanan awal, meningkatkan rondaan di kawasan berisiko serta menambah baik sistem amaran berasaskan satelit.

Kesan kebakaran kini turut dirasakan di negara jiran apabila jerebu menyeberangi sempadan ke Sarawak, Malaysia.

Sebanyak 591 sekolah di Sarawak ditutup sementara, menjejas 197,323 pelajar, dengan pembelajaran dialihkan ke rumah.

Pada pagi 21 Ogos, Indeks Pencemar Udara (API) di Serian mencecah 241, iaitu kategori sangat tidak sihat.

Beberapa kawasan lain termasuk Sri Aman, Kuching, Samarahan, Sarikei, Sibu dan Bintulu turut mencatat mutu udara tidak sihat.

Di media sosial pula, tanda pagar #PrayForKalimantan menjadi antara topik hangat di Indonesia, dengan sekitar 269,000 hantaran direkodkan setakat tengah hari 21 Ogos.

Di tengah-tengah kebimbangan bahawa keadaan boleh bertambah buruk ketika musim kering mencapai kemuncaknya, pasukan pemadam terus bertungkus lumus mengawal kebakaran, khususnya di tanah gambut yang sukar dipadam sepenuhnya dan mudah terbakar semula. – Agensi berita.