WASHINGTON: Lapan kanak-kanak terbunuh dalam kejadian tembakan pada awal 19 April di Louisiana di selatan Amerika Syarikat, dalam apa yang disifatkan polis sebagai insiden keganasan rumah tangga.

Insiden yang berlaku sejurus selepas jam 6:00 pagi di bandar Shreveport itu, merupakan kejadian tembakan beramai-ramai paling dahsyat di Amerika dalam tempoh lebih dua tahun, menurut data daripada Arkib Keganasan Senjata Api.

Lelaki bersenjata itu, yang tidak dikenal pasti dengan segera tetapi dilaporkan seorang lelaki dewasa, ditembak mati oleh polis selepas kejadian kejar-mengejar melibatkan kereta, kata pegawai.

Maklumat awal menunjukkan suspek pertama kali menembak seorang wanita dan kemudian pergi ke rumah berdekatan dan membunuh kanak-kanak itu, menurut catatan Facebook daripada polis Shreveport.

Koperal Polis Encik Chris Bordelon memberitahu sidang akhbar bahawa kejadian berlaku di tiga kediaman, yang sedang diselidiki oleh penyiasat untuk mencari bukti.

Mangsa berumur antara satu dengan 14 tahun, kata Encik Bordelon. Dua orang lagi juga terkena tembakan, tetapi keadaan mereka tidak diketahui dengan segera.

“Beberapa kanak-kanak itu merupakan anggota keluarganya sendiri,” tambahnya.

Suspek telah cuba melarikan diri dengan mencuri sebuah kereta tetapi dikejar oleh beberapa kereta polis.

Namun, percubaannya untuk melarikan diri berakhir tidak ke mana apabila polis melepaskan tembakan dan membunuh lelaki berkenaan.

Tiada pegawai yang cedera, kata polis.

“Kami percaya dia satu-satunya individu yang melepaskan tembakan di tempat-tempat kejadian itu,” kata Encik Bordelon, menyifatkan kejadian itu sebagai kes melibatkan “gangguan rumah tangga.”

Polis berkata butiran lanjut tentang mangsa dan lelaki bersenjata itu akan diberikan selepas polis memaklumkan mangsa-mangsa tembakan itu.

Stesen penyiar, ABC KTBS, melaporkan bahawa dua orang yang cedera adalah wanita dewasa yang ditembak di kepala. Manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera apabila dia melompat daripada bumbung salah sebuah rumah.

Suspek dan seorang wanita yang ditembak adalah ibu bapa kepada tujuh kanak-kanak itu, kata Encik Bordelon.

Salah seorang daripada dua senator Louisiana, Encik Bill Cassidy, menyifatkan kejadian itu sebagai episod “keganasan yang dahsyat” dan mendoakan agar mangsa yang terselamat cepat sembuh.

Gabenor Louisiana Jeff Landry berkata beliau “sedih” atas insiden yang berlaku

Keganasan senjata api kerap berlaku di Amerika, dengan beribu-ribu orang terbunuh setiap tahun.

“Pagi ini Shreveport dilanda kesedihan dan kami semua berkabung bersama mangsa,” kata Mayor Tom Arceneaux pada sidang akhbar itu. - AFP, Reuters