Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 terbunuh, 9 cedera dalam tembakan di Universiti Brown

Dec 14, 2025 | 5:10 PM
Barus & Holley di Universiti Brown, tembakan
Pegawai penguat kuasa undang-undang mengiringi pelajar berhampiran bangunan kejuruteraan Barus & Holley di Universiti Brown pada 13 Disember. - Foto AFP

NEW YORK: Polis di Rhode Island giat memburu seorang suspek lewat 13 Disember selepas kejadian tembakan di Universiti Brown di Providence mengorbankan dua pelajar dan mencederakan lapan yang lain dengan parah di universiti Ivy League itu, kata pihak berkuasa.

Seorang individu kesembilan cedera akibat serpihan peluru, menurut datuk bandar.

Jalan-jalan di sekitar kampus kekal ditutup dan dipenuhi kenderaan kecemasan beberapa jam selepas kejadian, sementara kawalan keselamatan di seluruh bandar diperketatkan ketika pemburuan suspek diteruskan.

“Individu yang bertanggungjawab masih bebas,” kata Datuk Bandar Encik Brett Smiley kepada pemberita pada sidang media pada 9.30 malam (10.30 pagi 14 Disember, waktu Singapura).

Timbalan Ketua Polis Encik Timothy O’Hara berkata suspek belum dikenal pasti.

Pihak berkuasa sedang mencari seorang lelaki berpakaian serba hitam dan akan mengeluarkan rakaman video suspek, yang menurut Encik O’Hara mungkin memakai topeng.

Beliau berkata selongsong peluru ditemui di tempat kejadian, namun polis belum bersedia mendedahkan butiran lanjut. 

“Kita hanya kira-kira seminggu setengah sebelum Krismas. Dua orang terkorban hari ini dan lapan lagi dirawat di hospital,” kata Encik Smiley.

“Tolong doakan keluarga-keluarga tersebut,” tambah beliau.

Universiti Brown terletak di College Hill, Providence, dan mempunyai ratusan bangunan termasuk dewan kuliah, makmal dan asrama. 

Kejadian tembakan berlaku di bangunan Barus dan Holley, yang menempatkan jabatan kejuruteraan dan fizik. 

Universiti memaklumkan beberapa peperiksaan dijadualkan berlangsung di bangunan itu ketika kejadian.

“Ini adalah hari yang tidak diingini, namun ia telah berlaku,” kata Presiden Universiti Brown, Cik Christina Paxson, sambil mengesahkan semua atau hampir semua mangsa adalah pelajar.

Pihak penguat kuasa undang-undang menyifatkan suspek sebagai seorang lelaki berpakaian serba hitam.

“Kami menggunakan setiap sumber yang ada untuk menjejaki suspek ini. Arahan berlindung di tempat masing-masing masih berkuat kuasa. Tolong jangan datang ke kawasan ini,” kata Encik O’Hara.

Suspek kali terakhir dilihat meninggalkan bangunan dan tiada senjata ditemui, menurut pihak berkuasa.

Jenis senjata belum dikenal pasti, dan rakaman video sedang dicari untuk membantu pemburuan.

Ketua Polis Universiti Brown, Encik Rodney Chatman, menyifatkan siasatan itu sebagai “keadaan yang sangat tidak menentu”.

“Kunci pintu, senyapkan telefon dan bersembunyi sehingga diberitahu kelak.”

Gabenor Rhode Island, Encik Daniel McKee, berikrar penyerang akan dibawa ke muka pengadilan. Anggota penguat kuasa undang-undang dan pasukan penyelamat membanjiri lokasi kejadian. 

Biro Siasatan Federal (FBI) menyediakan “segala keupayaan yang diperlukan”, manakala ejen Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan (ATF) turut dikerahkan.

Usaha pemburuan menjadi lebih rumit apabila pusat bandar Providence dipenuhi pembeli-belah sempena musim cuti dan ribuan orang menghadiri konsert. 

Polis dari bandar dan pekan berhampiran turut membantu, manakala beberapa lokasi meningkatkan kawalan keselamatan.

Ketika berita tersebar, universiti mengarahkan pelajar berlindung di mana mereka berada.

Seorang pelajar, Cik Katie Sun, berkata beliau terdengar tembakan ketika sedang belajar sebelum berlari ke asrama tanpa membawa barang peribadi.

“Ia benar-benar menakutkan. Tembakan itu seolah-olah datang dari bilik darjah,” katanya.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Universiti Brown mempunyai kira-kira 11,000 pelajar.

Kejadian ini merupakan yang terbaru dalam rentetan panjang serangan di sekolah-sekolah di Amerika, di mana usaha mengekang akses senjata api berdepan kebuntuan politik. – Reuterrs, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg