Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tembakan di Universiti Brown ragut 2 pelajar; suspek ditahan

Dec 15, 2025 | 1:34 PM
kes tembakan rambang, Amerika, Universiti Brown
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek kes tembakan di Universiti Brown sedang berjalan di sepanjang Hope Street selepas meninggalkan tempat kejadian. - Foto REUTERS

PROVIDENCE (Rhode Island): Seorang lelaki telah ditahan di sebuah hotel di Rhode Island sebagai suspek kes tembakan di Universiti Brown yang menyebabkan dua pelajar maut dan sembilan cedera di tengah-tengah peperiksaan akhir tahun di sekolah berprestij Ivy League itu, kata pihak berkuasa.

Ketua Polis Providence, Encik Oscar Perez, berkata suspek yang ditahan berhubung keganasan senjata api pada 13 Disember itu berusia 20-an tetapi beliau enggan berkongsi butiran lanjut.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak mencari suspek lain pada masa ini susulan penangkapan lelaki tersebut.

Suspek akan didakwa secara rasmi pada malam 14 Disember, kata jurucakap keselamatan awam bandar, Cik Kristy DosReis.

Agensi berita seperti Washington Post dan NBC News, memetik sumber tanpa nama yang mengenal pasti lelaki itu sebagai Benjamin Erickson, 24 tahun, yang sebelum ini menetap di Wisconsin.

Menurut seorang jurucakap tentera, Erickson pernah berkhidmat sebagai askar infantri dalam Tentera Darat Amerika Syarikat dari Mei 2021 hingga November 2024.

Jurucakap itu, Leftenan-Kolonel Ruth Castro, menambah: “Dia tidak pernah terlibat dalam sebarang kerahan dan meninggalkan Tentera Darat dengan pangkat pakar.”

Pengarah Biro Siasatan Federal (FBI), Encik Kash Patel, berkata dalam satu catatan di X bahawa suspek ditahan di sebuah bilik hotel di bandar Coventry, Rhode Island, yang terletak 30 minit pemanduan dari kampus Universiti Brown.

FBI, kata Encik Patel lagi, telah memanfaatkan kepakarannya dalam analisis data selular dan menggunakan maklumat geolokasi untuk mengesan suspek.

Kes tembakan rambang – yang terbaru dengan melibatkan hampir 400 orang di Amerika sepanjang 2025 – menggegarkan komuniti di universiti itu, salah satu yang tertua di Amerika.

Akibat kejadian itu, pihak universiti telah membatalkan peperiksaan dan kelas untuk baki 2025.

Datuk Bandar Providence, Encik Brett Smiley, berkata bahawa pihak berkuasa masih belum menghubungi semua anggota keluarga mangsa kerana ada yang sedang dalam perjalanan.

“Agak jelas bahawa jika kita dapat bersatu sebagai sebuah komuniti dan memberi sedikit cahaya malam ini, saya fikir tiada yang lebih baik yang boleh kita lakukan,” kata Encik Smiley.

Tujuh mangsa yang cedera di Universiti Brown berada dalam keadaan stabil, seorang masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang, tambahnya.

Arahan berlindung di tempat-tempat di universiti dan kawasan berdekatan telah ditarik balik pada 14 Disember.

Encik Smiley berkata bahawa penduduk harus menjangkakan kehadiran polis yang ketara di seluruh bandar.

Suspek melarikan diri selepas menembak pelajar di dalam bilik darjah di bangunan kejuruteraan dan fizik universiti tersebut. Pintu luar dibiarkan tidak berkunci semasa peperiksaan sedang berlangsung, kata pegawai.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan klip video pendek seorang individu yang berpakaian hitam berjalan berhampiran bangunan kejuruteraan.

Timbalan Ketua Polis Providence, Encik Timothy O’Hara berkata individu itu mungkin memakai topeng dalam kejadian itu.

Presiden Universiti Brown, Cik Christina Paxson, mengesahkan bahawa semua atau hampir semua mangsa adalah pelajar, sambil menambah: “Ini adalah hari yang diharapkan tidak akan berlaku tetapi ia telah berlaku.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg