WASHINGTON: Presiden Donald Trump berikrar untuk meningkatkan lagi perang dagangannya pada 8 Julai, dengan mengancam tarif Amerika sehingga 200 peratus ke atas ubat-ubatan asing dan 50 peratus ke atas tembaga, di tengah-tengah kekeliruan ekoran kadar tarif yang berubah-ubah..
Beberapa jam selepas mengumumkan tarikh akhir tarif terbarunya yang melonjak tinggi tetapi tidak 100 peratus dilaksanakan dengan tegas, Presiden Amerika itu mengisytiharkan bahawa “tiada lanjutan akan diberikan” selepas ia dikuat kuasa mulai 1 Ogos.
“Tiada perubahan pada tarikh ini, dan tidak akan ada perubahan lain,” tulis Encik Trump di media sosial, sehari selepas menandatangani perintah eksekutif yang menukar tarikh pelaksanaan asal tarif pada 9 Julai.
Dasar tarif dagangan yang berubah-ubah oleh Encik Trump telah menjejas terutamanya negara Asia.
Pada 7 Julai, beliau mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif sehingga 40 peratus ke atas barangan yang diimport dari 14 negara, termasuk Bangladesh, Jepun dan Korea Selatan.
Tetapi beliau membenarkan tiga minggu lagi untuk rundingan dagangan dengan negara berkenaan.
Lebih banyak surat akan dihantar bagi memaklumkan negara tentang kadar tarif baru “hari ini, esok, dan untuk tempoh masa yang singkat”, menurut Encik Trump.
Bercakap di Rumah Putih, Encik Trump berkata tembaga yang diimport akan dikenakan tarif 50 peratus dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran logam Amerika.
Selepas memberikan pengilang notis kira-kira setahun atau setahun setengah, import farmaseutikal juga “akan dikenakan tarif pada kadar yang sangat tinggi iaitu 200 peratus”, kata beliau lagi.
Beliau juga mengumumkan bahawa Amerika akan “tidak lama lagi” mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari negara anggota Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
Pengumumannya itu menarik kecaman daripada Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, yang baru saja menjadi tuan rumah sidang puncak tahunan blok itu.
Encik Trump menyatakan dalam mesyuarat Kabinet di Rumah Putih pada 8 Julai berkata: “Sesiapa sahaja yang berada dalam Brics akan dikenakan tarif 10 peratus tidak lama lagi ... Jika mereka anggota Brics, mereka perlu membayar tarif 10 peratus ... dan mereka tidak akan lama menjadi anggota.”
Para pemimpin sidang puncak Brics di Rio de Jeneiro mengecam dasar dagangan Encik Trump khususnya melibatkan tarif serta serangan Amerika ke atas Iran. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg