SURABAYA: Sekurang-kurangnya lapan maut dan 44 lagi cedera apabila bas yang membawa pekerja hospital dan keluarga mereka terbalik berhampiran Gunung Bromo di Probolinggo, Jawa Timur, pada 14 September.
Insiden itu menampilkan kebimbangan berterusan tentang keselamatan jalan raya di Indonesia melibatkan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik dan laluan berbahaya menimbulkan risiko kepada pengguna.
Bas itu membawa kira-kira 50 penumpang daripada Hospital Bina Sehat di Jember, Jawa Timur, dalam perjalanan rekreasi.
Para penumpang adalah pekerja hospital dan anggota keluarga mereka.
Menurut polis, pemandu yang dikenali sebagai Encik Albahri berusia 59 tahun, terselamat dalam kemalangan itu.
Beliau memberitahu penyiasat polis brek bas itu gagal berfungsi ketika kemalangan itu berlaku.
“Saya menekan brek, tetapi ia tidak berfungsi. Akibat terlalu panik, saya membelok bas ke penghadang tepi jalan untuk mengelakkannya daripada jatuh ke dalam gaung,” kata Encik Albahri dalam keterangannya kepada polis.
Tragedi itu amat menggemparkan kakitangan hospital apabila mereka menerima berita mengenai kemalangan tersebut.
Puluhan kakitangan dan saudara-mara berkumpul dengan cemas di wad kecemasan ketika mangsa dibawa pulang ke hospital di Jember itu.
Antara mereka ialah Encik Abdul Wahab, yang kehilangan anak lelaki, menantu perempuan, dan cucu perempuannya yang masih kecil.
“Saya mendengar tentang kemalangan itu pada 2 petang. Ternyata anak saya antara mangsa. Kemudian, saya diberitahu isteri dan anaknya juga meninggal dunia,” katanya dengan suara yang bergetar sambil menahan sebak di dada.
Polis kemudian mengeluarkan identiti tujuh daripada lapan yang maut yang berusia antara tujuh tahun dengan 39 tahun.
Mereka ialah Bella Puteri Kayila Nuryati,10 tahun, dari Gebang Tengah; Cik Patrang Hesti Purwa Wredamaya, 39 tahun, dari Pancakarya, Ajung; Encik Hendra Pratama, 37 tahun, dari Kepatihan, Kaliwates. Cik Wardatus Soleha, 35 tahun, isteri Encik Hendra, dari Serut, Panti.
Turut meninggal dunia ialah Aiza Fahrani Agustin, tujuh tahun, anak Encik Hendra; Cik Arti Wibowati, 34 tahun, dari Glundengan dan Wuluhan Nasha Azkiya Nayyara, 14 tahun, dari Baratan, Patrang.
Pihak berkuasa berkata seorang mangsa masih tidak dikenali. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg