BANGKOK: Sehingga 1 Disember, sembilan hari selepas banjir besar melanda Hat Yai, paras air terus surut dan bandar ini kini memasuki fasa pemulihan dan pembersihan sepenuhnya.
Sekitar 80 peratus penduduk kini telah kembali ke rumah mereka bagi menilai kerosakan, sementara sebahagiannya masih berada di tempat pemindahan sementara yang diuruskan oleh pihak berkuasa wilayah di selatan Thailand itu.
Perdana Menteri, Encik Anutin Charnvirakul, telah mengarahkan pembuangan segera barang yang rosak akibat banjir, menetapkan sasaran bahawa penduduk mesti dapat pulang ke rumah dalam tempoh tujuh hari dan Hat Yai mesti dibersihkan sepenuhnya dalam tempoh 14 hari.
Pemberita yang meninjau pusat pemindahan sementara di Universiti Prince of Songkla (PSU) menyatakan bahawa lebih daripada 10,000 mangsa telah tinggal di sana sebelum ini.
Sehingga 1 Disember, sesetengah penduduk masih berada di tempat perlindungan, tetapi ramai yang telah mula pulang ke rumah kerana pusat tersebut akan memindahkan mangsa ke tapak pemindahan Ban Phru – Wat Thep Chum Num pada 2 Disember.
Pada pagi 1 Disember, mangsa yang dipindahkan ke pusat tersebut, dilihat sedang menikmati sarapan pagi dan ada yang menunggu saudara-mara datang menjemput mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
Ramai yang bimbang tentang di mana mereka hendak tidur sebaik sahaja pulang ke rumah yang masih belum dibersihkan.
Sesetengah penduduk mendapati rumah mereka telah rosak akibat banjir – hanya tinggal rangka.
Seorang nenek berusia 79 tahun yang merancang pulang ke rumahnya, memberitahu pemberita bahawa rumahnya telah musnah, hanya tinggal strukturnya.
Dengan linangan air mata, beliau berkata: “Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan. Saya sudah tua... tahun ini adalah yang terburuk. Rumah saya... hanya rangka yang tinggal.”
Hat Yai merupakan daerah yang paling teruk dilanda banjir – menjejas lebih daripada 226,000 isi rumah dan 406,823 orang.
Pejabat Wilayah Songkhla melaporkan kemajuan ketara dalam kerja memulihkan infrastruktur yang rosak:
Menurutnya, lebih 176,000 akaun elektrik terjejas dengan lebih 90 peratus kini telah dipulihkan.
Sebanyak 60 peratus air paip telah dipulihkan dengan pengagihan air bersih sedang dijalankan di kawasan yang pengalirannya masih belum disambung semula.
Sementara itu, kira-kira 85 peratus rangkaian telekomunikasi telah dipulihkan dan lebih 8,000 kereta telah tenggelam.
Pihak berkuasa masih menjalankan usaha untuk mendapatkan sokongan pampasan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg