Topik diikuti
Pergi ke BHku9 maut, 13 cedera dalam tembakan rambang di sekolah Turkey
9 maut, 13 cedera dalam tembakan rambang di sekolah Turkey
Penyerang berusia 14 tahun turut terbunuh, motif serangan masih belum diketahui
9 maut, 13 cedera dalam tembakan rambang di sekolah Turkey
ANKARA: Sekurang-kurangnya lapan pelajar dan seorang guru terbunuh dan beberapa yang lain cedera susulan kejadian tembakan di sebuah sekolah di selatan Turkey, kata Menteri Dalam Negeri Mustafa Ciftci.
Kejadian yang berlaku di Sekolah Menengah Ayser Calik di kawasan Kahramanmaras, menyebabkan 13 yang lain cedera dengan enam daripada mereka dalam keadaan kritikal, kata Encik Ciftci.
Penyerang, seorang pelajar berusia 14 tahun, juga terbunuh dalam kejadian itu, kata pegawai.
Ia berlaku sehari selepas 16 orang cedera selepas seorang bekas pelajar melepaskan tembakan di sebuah lagi sekolah menengah, juga di selatan negara itu, sebelum membunuh diri.
Motif serangan pada 15 April itu masih belum diketahui dan siasatan sedang giat dijalankan.
“Ini merupakan serangan peribadi yang dilakukan oleh salah seorang pelajar kami, ia bukan insiden keganasan,” kata Ciftci.
Media Turkey melaporkan bahawa penyerang itu memasuki dua bilik darjah dan membawa lima pucuk pistol dan tujuh kelopak peluru.
Terdahulu, Gabenor Kahramanmaras, Encik Mukerrem Unluer, berkata penembak itu telah menembak dan membunuh diri dalam kekecohan yang berlaku.
“Seorang pelajar Darjah 8 datang dengan lima senjata dan tujuh kelopak peluru lalu memasuki dua bilik darjah pelajar Darjah 5, melepaskan tembakan secara rambang, menyebabkan kematian dan kecederaan,” kata Encik Unluer.
Pelajar Darjah 5 biasanya berumur antara 10 dengan 11 tahun.
Encik Unluer menyatakan senjata itu dipercayai milik bapa pelajar itu.
Bapanya, seorang bekas pegawai polis, telah ditahan polis, menurut media tempatan.
Dalam rakaman video, para pelajar dilihat melompat daripada tingkap tingkat satu sekolah dan berlari keluar ketika serangan berlaku.
“Bunyi tembakan sangat kuat,” kata seorang wartawan stesen penyiar NTV, sambil menambah bahawa terdapat “panik di hadapan sekolah”.
Selepas berita mengenai tembakan itu tersebar, ibu bapa yang menangis berkumpul di luar bangunan sekolah.
“Anak saya menyaksikan kejadian itu dan berkata kawannya cedera.
“Bagaimana saya nak bawa anak-anak saya ke sekolah ini?” tanya bapa seorang pelajar yang mengenalkan dirinya sebagai Encik Omer Erdag.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dalam satu hantaran di X, berkata beliau mendoakan “pemulihan segera untuk anak-anak kami, keluarga kami, dan guru kami”.
Undang-undang senjata api pada amnya ketat di Turkey, dengan hanya individu berumur lebih 21 tahun dan mempunyai lesen dibenarkan memiliki senjata. – Reuters.
