GRAZ, AUSTRIA: Suasana tenang di bandar Graz, selatan Austria bertukar tragis apabila sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam satu serangan tembakan di sebuah sekolah menengah pada pagi 10 Jun.
Datuk Bandar Graz, Cik Elke Kahr, mengesahkan bahawa kejadian itu melibatkan seorang penyerang yang turut ditemui mati. Beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai “tragedi yang amat menyayat hati.”
“Ramai mangsa telah dikejarkan ke hospital. Ini adalah tragedi yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujar Cik Kahr dalam kenyataan kepada agensi berita Austria, APA.
Polis tempatan mengesahkan bahawa kawasan sekolah kini telah dikawal sepenuhnya dan tiada ancaman lanjutan kepada orang awam. Semua pelajar dan staf telah dipindahkan dengan selamat.
Jurucakap polis, Encik Fritz Grundnig, berkata bahawa terdapat “beberapa mangsa maut” dan beberapa lagi mengalami kecederaan serius termasuk pelajar dan guru.
“Tiada bahaya lagi kepada penduduk. Serangan ini kelihatan dilakukan oleh seorang individu sahaja,” katanya kepada saluran televisyen Austria.
Laporan awal oleh akhbar Salzburger Nachrichten menyebut bahawa suspek dipercayai bekas pelajar berusia 22 tahun yang membawa sepucuk pistol dan senapang. Akhbar tabloid Kronen Zeitung pula melaporkan bahawa mayat suspek ditemui di dalam sebuah bilik air, namun laporan ini belum disahkan oleh pihak polis.
Menurut penyiar awam Austria, ORF, serangan itu dipercayai dimulakan oleh pelajar sekolah berkenaan sendiri, menyebabkan evakuasi besar-besaran ke atas pelajar dan staf.
Menteri Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Austria, Beate Meinl-Reisinger, menzahirkan rasa sedih dan kecewa yang mendalam terhadap kejadian tersebut menerusi hantaran di platform X. “Ia amat menyakitkan dan tidak dapat diterima. Sebagai seorang ibu kepada tiga anak, hati saya hancur mengenangkan penderitaan keluarga mangsa,” tulisnya.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, turut menyatakan simpati terhadap rakyat Austria: “Setiap kanak-kanak harus merasa selamat di sekolah dan bebas daripada keganasan. Doa saya bersama keluarga mangsa dan rakyat Austria pada saat gelap ini.”
Austria merupakan antara negara Eropah dengan jumlah pemilikan senjata api tertinggi dalam kalangan orang awam dianggarkan sekitar 30 senjata api bagi setiap 100 orang. Walaupun senjata automatik seperti mesingan dan senapang pam diharamkan, pistol, revolver, dan senjata separa automatik masih boleh dimiliki dengan kebenaran rasmi.
Senapang dan senapang patah dibenarkan untuk pemilik lesen senjata api atau lesen memburu.
Insiden tembakan di tempat awam jarang berlaku di negara Alpine ini yang mempunyai populasi sekitar 9.2 juta orang. Bagaimanapun, serangan besar pernah berlaku pada tahun 2020 apabila seorang pelaku yang mempunyai kaitan dengan jihadisme menembak mati empat orang dan mencederakan 22 yang lain di pusat bandar Vienna.
Dalam insiden terdahulu pada tahun 1997, seorang mekanik menembak mati enam individu sebelum membunuh diri. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg