Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekurang-kurangnya 6 maut, ribuan terjejas akibat banjir di selatan Thai

Dec 27, 2023 | 8:00 PM
CARI PERLINDUNGAN: Puluhan ribu isi rumah terjejas akibat banjir di selatan Thailand termasuk di wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
CARI PERLINDUNGAN: Puluhan ribu isi rumah terjejas akibat banjir di selatan Thailand termasuk di wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat. - Foto AFP

BANGKOK: Banjir di selatan Thailand telah meragut nyawa sekurang-kurangnya enam orang dan menjejas puluhan ribu isi rumah, menurut pihak berkuasa pada 27 Disember.

Banjir itu yang bermula pada 22 Disember menjejas lebih 70,000 rumah di wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Enam orang, termasuk seorang warga emas wanita berusia 89 tahun serta kanak-kanak kecil, terkorban di Narathiwat, kata timbalan gabenor wilayah, Encik Preecha Nualnoi.

Seorang lagi masih dilaporkan hilang berikutan hujan sepanjang beberapa hari yang menyebabkan air bah setinggi tiga meter di beberapa kawasan, tambahnya.

Rakaman media setempat menunjukkan jalan-jalan ditenggelami air banjir dan penduduk berlindung di atas bumbung.

Pasukan bantuan bekerja pada waktu malam untuk menghulurkan air botol dan makanan ringan, serta memeriksa bangunan jika terdapat sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand berkata paras air telah berkurangan pada pagi 27 Disember.

Beberapa perkhidmatan kereta api di wilayah Narathiwat, yang bersempadan dengan Malaysia, disambung semula selepas penutupan selama beberapa hari akibat masalah keadaan tanah, kata Encik Preecha.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand sedang memantau dengan teliti situasi banjir, kata Menteri Kesihatan Awam, Dr Cholnan Srikaew.

Dr Cholnan pada 26 Disember berkata, 12 kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh wilayah Narathiwat dan Yala terjejas akibat banjir. Daripada jumlah itu, 10 kemudahan masih ditutup.

Kementeriannya menyediakan pusat perubatan kecemasan dan operasi kesihatan awam di Yala dan Narathiwat.

“Kami bersedia sepenuhnya membantu dan menjaga mereka yang terjejas, terutama pesakit kronik dan individu yang terlantar di katil agar mereka menerima perhatian perubatan yang berterusan.

“Kami juga berwaspada tentang penyakit dan bahaya kesihatan yang berkaitan dengan banjir,” kata Dr Cholnan.

Beliau menambah, langkah pencegahan termasuk mengarahkan pegawai kesihatan wilayah dan pengurus kemudahan untuk menyediakan bekalan perubatan, menubuhkan pasukan tindak balas perubatan serta merangka pelan kecemasan yang menyeluruh sebelum dan semasa bencana tersebut.

Penilaian pantas selepas bencana akan menilai kerosakan pada kemudahan penjagaan kesihatan, terutamanya yang ditutup atau yang hanya sebahagiannya beroperasi.

Kewaspadaan terhadap penyakit akibat air banjir yang bertakung dan memantau pemulihan kesihatan mental individu yang terjejas bagi tekanan yang teruk, gangguan tekanan selepas trauma, kemurungan dan kebimbangan akan diutamakan, tambah beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg