BAITULMAKDIS: Puluhan ribu umat Islam menunaikan solat Jumaat pertama dalam Ramadan secara tenang di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mac, meskipun terdapat kebimbangan mengenai ketegangan yang mungkin berlaku berikutan krisis di Gaza.
Menurut penyelia kawasan itu, Waqf Islam, sekitar 90,000 jemaah menghadiri solat itu.
Terletak di Haram As-Syarif, kawasan Masjid Al-Aqsa sering menjadi ‘lokasi panas’ bagi tercetusnya konflik antara pasukan keselamatan Israel di kawasan itu dengan penduduk Palestin.
Tahun 2025 merupakan Ramadan kedua penduduk Palestin menjalani ibadah puasa dalam keadaan tidak menentu sejak tercetusnya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023.
Walaupun gencatan senjata antara Israel dengan Hamas sedang berlangsung, pasukan keselamatan Israel tetap mengawal kawasan itu dengan ketat.
Pada 6 Mac, pihak penguatkuasa undang-undang Israel berkata sekitar 3,000 pegawai akan ditempatkan di seluruh Baitulmakdis bagi mengelakkan sebarang pergaduhan yang “mengeksploitasi Ramadan” untuk tujuan hasutan, rusuhan, atau sebarang bentuk keganasan.
Hamas, sebelum ini, menyeru penduduk Palestin yang beragama Islam untuk hadir dalam jumlah besar ke Haram As-Syarif dan menentang percubaan Israel untuk “mencemar dan menguasai” kawasan itu “dengan apa cara sekalipun”.
Pihak polis dan pengawal sempadan dilihat mengadakan sekatan jalan sementara di sekitar Kota Lama, memberhentikan dan memeriksa pejalan kaki secara kerap, khususnya belia lelaki.
Dalam satu kenyataan pada 3 Mac, Pejabat Perdana Menteri Israel, berkata mereka menerima usul daripada pihak keselamatan untuk memberikan permit kemasukan ke Baitulmakdis kepada penduduk Tebing Barat yang beragama Islam dalam “bilangan terhad”.
Walaupun jumlah sebenar tidak didedahkan, laporan pada penghujung Februari meletakkan had maksimum kepada 10,000 orang.
Seperti Ramadan 2024, Israel hanya membenarkan penduduk lelaki Palestin berumur 55 tahun dan ke atas, wanita berumur sekurang-kurangnya 50 tahun, serta kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah untuk memasuki Baitulmakdis bagi menunaikan solat Jumaat.
Laporan media Palestin menyatakan terdapat barisan panjang jemaah yang menunggu untuk memasuki Baitulmakdis di sekatan pemeriksaan Qalandia, di utara bandar tersebut.
Secara umum, tiada sekatan dikenakan terhadap penduduk Palestin dari Baitulmakdis Timur dan warga Arab Israel, namun pihak polis melarang individu tertentu daripada memasuki kawasan itu.
Masjid Al-Aqsa adalah masjid ketiga paling utama dalam Islam, serta tempat paling suci dalam agama Yahudi kerana pernah menempatkan dua kuil suci, menjadikannya titik pertikaian berterusan dalam konflik Israel-Palestin. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg