Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas gesa PBB gantung keanggotaan Israel, umum pelan pascaperang

Lebanon lapor 1,540 terbunuh akibat serangan Israel sejak Okt
Sep 27, 2024 | 12:54 PM
Presiden Palestin, Encik  Mahmoud Abbas, berucap di Perhimpunan Agung ke-79 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September menggesa PBB menggantung keanggotaan Israel kerana ia tidak memenuhi syarat keahlian PBB termasuk melanggar piagam dan ketetapan badan dunia itu.
Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, berucap di Perhimpunan Agung ke-79 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September menggesa PBB menggantung keanggotaan Israel kerana ia tidak memenuhi syarat keahlian PBB termasuk melanggar piagam dan ketetapan badan dunia itu. - Foto REUTERS

NEW YORK: Presiden Penguasa Palestin Mahmoud Abbas menuduh Israel melancarkan “perang pembunuhan beramai-ramai berskala penuh” di Gaza, dan membentangkan visi 12 perkara untuk pengurusan pascaperang di wilayah itu.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 26 September – hampir setahun setelah perang berterusan antara Israel dengan Hamas di Gaza.

Encik Abbas menggesa PBB menggantung keahlian Israel dalam badan dunia itu.

Ini kerana, tegas Encik Abbas, Israel tidak memenuhi syarat keahlian PBB sejak dari awal keahliannya termasuk melanggari piagam dan ketetapan badan dunia yang berpengaruh itu.

Untuk itu, penggantungan berkenaan, tambah beliau, adalah wajar sehingga Israel mampu memenuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh sekitar 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Sambil merujuk konflik semakin meningkat antara Israel dengan Hezbollah, beliau turut menuduh Israel melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di Lebanon.

Encik Abbas memulakan ucapannya dengan tiga kali mengisytiharkan: “Kami tidak akan keluar. Palestin adalah tanah air kami. Ia adalah tanah nenek moyang kami, datuk kami. Ia akan tetap milik kami”.

Beliau menyeru Israel supaya menamatkan perang di Gaza dan masyarakat antarabangsa menghentikan sokongannya terhadap Israel.

Encik Abbas menolak dakwaan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, bahawa Israel tidak membunuh orang awam di Gaza, dengan berkata: “Saya bertanya kepada anda, siapakah yang membunuh lebih daripada 15,000 kanak-kanak?”

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata sejauh ini lebih 41,000 orang telah terbunuh dalam pertempuran di Gaza.

Encik Abbas menyelar Washington kerana menyokong Israel dalam perang, dengan menyatakan bahawa “pentadbiran Amerika Syarikat – demokrasi terbesar di dunia – telah tiga kali menghalang draf ketetapan di Majlis Keselamatan yang menuntut Israel mematuhi gencatan senjata”.

Amerika telah berulang kali menggesa gencatan senjata di Gaza dan telah menerajui usaha mencapai perjanjian dengan Hamas tetapi belum membuahkan hasil.

“Ini adalah Amerika – negara yang sama dan satu-satunya anggota Majlis Keselamatan yang mengundi menentang keanggotaan penuh negara Palestin dalam PBB,” tegasnya.

Menurutnya, Ramallah akan mengemukakan permintaan supaya Israel dipecat daripada PBB kerana melanggar pelbagai resolusi.

Beralih ke Tebing Barat, Encik Abbas menekankan, “Tebing Barat berada di bawah pencerobohan Israel setiap hari dan berterusan”.

Mengenai Baitulmakdis, beliau berkata pekarangan Masjid Al Aqsa adalah “milik eksklusif umat Islam,” menafikan tuntutan Yahudi ke atas tapak dua kuil purba pernah berdiri.

Membentangkan visi 12 perkara untuk pengurusan pascaperang Gaza, beliau antara lain menyatakan gencatan senjata kekal perlu dilaksanakan di Gaza dan penamatan serangan oleh peneroka Israel terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Bantuan kemanusiaan perlu disampaikan di seluruh Gaza, Israel mesti mengundurkan tenteranya dari Gaza, Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mesti dilindungi dan dibenarkan untuk terus beroperasi dan perlindungan antarabangsa diperlukan untuk rakyat Palestin di tanah yang diduduki Israel, tambah beliau.

Encik Abbas berkata pemerintah Palestin mesti mempunyai bidang kuasa ke atas seluruh Jaluran Gaza dan Penguasa Palestin akan meneruskan proses pembaharuan nasional yang menyeluruh.

Selain itu, pemerintah Palestin akan menjadi wakil tunggal bagi rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur dan rakyat Palestin akan meneruskan usaha mendapatkan status anggota penuh di PBB.

Lebanon pada 27 September melaporkan bahawa jumlah kematian akibat serangan Israel di seluruh negara meningkat kepada 1,540 sejak Oktober, lapor agensi berita, Anadolu.

Unit Pengurusan Risiko Bencana dalam satu laporan menyatakan jumlah yang cedera kini mencecah 5,410 orang dan individu yang dipindah dan didaftarkan di pusat perlindungan rasmi meningkat kepada 77,100 sehingga petang 26 September.

Laporan itu menyebut pusat perlindungan di kemudahan awam meningkat kepada 565 termasuk sekolah awam, kompleks pendidikan, institut vokasional dan pusat pertanian.

Ribuan lagi telah meninggalkan negara itu menyeberangi wilayah Lebanon ke Syria. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg