NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka meluluskan satu resolusi yang dirangka oleh Palestin pada 18 September, yang menuntut Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin yang diduduki dalam tempoh 12 bulan.
Tindakan itu dijangka akan memberi tekanan kepada Israel hanya beberapa hari sebelum para pemimpin dunia berkumpul di New York untuk perhimpunan tahunan PBB.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dijadual berucap di Perhimpunan Agung PBB pada 26 September, hari yang sama dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Resolusi itu turut merujuk kepada pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai yang menyatakan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin serta pembinaan penempatan adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan perlu ditamatkan.
Walaupun pendapat nasihat ICJ tidak mengikat, ia membawa pengaruh besar di peringkat antarabangsa.
Resolusi draf yang akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB mencadangkan tempoh 12 bulan untuk pelaksanaan menamatkan pendudukan tersebut, memberi masa kepada Israel untuk menarik diri secara teratur.
Ini merupakan kali pertama Penguasa Palestin mengusulkan resolusi secara rasmi sejak menerima hak dan keistimewaan tambahan pada September, termasuk hak untuk mencadangkan resolusi di dewan perhimpunan.
Bagaimanapun, Duta Amerika Syarikat ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, menggesa negara-negara untuk mengundi menolak resolusi tersebut, dengan alasan tindakan sepihak seperti itu akan menjejas prospek penyelesaian dua negara.
Duta Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, pula menggesa negara-negara anggota agar “berdiri di pihak (berdasar) sejarah yang benar”, di samping menyeru sokongan terhadap undang-undang antarabangsa, kebebasan dan keamanan.
Encik Mansour menyatakan bahawa usaha itu bertujuan menggunakan tekanan antarabangsa dan keputusan ICJ bagi memaksa Israel mengubah dasar pendudukannya.
Beliau menambah bahawa draf resolusi itu telah mengejutkan banyak negara, tetapi beliau yakin akan ada sokongan besar daripada masyarakat antarabangsa yang bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin.
Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, mengecam resolusi itu dan menyifatkannya sebagai “keganasan diplomatik” yang bertujuan merosakkan hubungan diplomatik, dan bukannya membina jambatan.
Isu itu mencetuskan perdebatan hangat terutama selepas ICJ menyatakan bahawa pendudukan Israel sejak 1967 adalah tidak sah menurut undang-undang antarabangsa.
Dalam teks perbahasan tersebut, Israel dikehendaki segera menghentikan pencerobohan haramnya di wilayah Palestin.
Namun, Israel membantah keras cadangan itu dan menyifatkannya sebagai tidak adil dan menentang nasihat ICJ.
Memberikan reaksi, negara-negara Arab mengadakan sesi khas perhimpunan PBB, beberapa hari sebelum pertemuan ketua-ketua negara di New York untuk Perhimpunan Agung PBB.
Perang di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel, menyebabkan kematian lebih 1,400 orang dan penculikan sekitar 250 tebusan.
Sejak itu, tindakan balas tentera Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, menyebabkan hampir semua daripada 2.3 juta penduduknya menjadi pelarian, selain menyumbang kepada kelaparan dan penyakit yang semakin memburuk di wilayah itu.
\Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 41,000 orang terbunuh dalam konflik itu.
Resolusi Perhimpunan Agung PBB memerlukan sokongan dua pertiga daripada negara yang hadir dan mengundi, tanpa mengambil kira negara yang berkecuali.
Encik Mansour menjangkakan resolusi itu akan diluluskan tetapi dengan sokongan yang mungkin kurang berbanding resolusi tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun terdapat sokongan kuat, satu perenggan dalam draf asal yang menyeru negara-negara anggota agar menghentikan eksport senjata ke Israel telah digugurkan semasa perbincangan.
Sementara itu calon presiden Demokratik Amerika, Cik Kamala Harris, menggesa agar peperangan Israel-Gaza dihentikan dan menekankan bahawa Israel tidak sepatutnya mengulangi penjajahan ke atas Gaza setelah konflik yang hampir setahun itu berakhir.
Berucap di hadapan Persatuan Wartawan Kulit Hitam Kebangsaan di Philadelphia pada 17 September, Cik Harris menyeru gencatan senjata antara Israel dengan Hamas serta penyelesaian dua negara bagi memastikan kestabilan di Timur Tengah tanpa memperkuatkan kedudukan Iran.
“Kami sudah menjelaskan bahawa perjanjian ini mesti diselesaikan demi kepentingan semua pihak di rantau itu,” kata Cik Harris, yang juga Naib Presiden Amerika, semasa menjawab soalan wartawan.
Beliau menambah bahawa penyelesaian harus melibatkan pendekatan yang memastikan kestabilan dan kesejahteraan semua, termasuk warga Palestin.
Dalam ucapan yang sama, Cik Harris turut menyentuh isu domestik termasuk masalah ekonomi dan imigresen.
Beliau mengakui Amerika kini berdepan dengan kekurangan perumahan yang mendesak, dan jika dipilih sebagai presiden, beliau berjanji untuk bekerjasama dengan pelabur swasta untuk meningkatkan bekalan perumahan.
Dalam konteks politik semasa, Cik Harris dan lawannya, Encik Donald Trump, sedang giat berkempen untuk menarik sokongan pengundi kulit hitam, terutama di negeri yang dianggap medan pertempuran sengit seperti Pennsylvania dan Georgia.
Walaupun pengundi kulit hitam secara tradisinya menyokong Parti Demokratik, tinjauan terkini menunjukkan sebilangan lelaki kulit hitam muda mula menyokong Encik Trump, sekali gus menjadikan perebutan undi itu lebih sengit.
Konflik Gaza-Israel dan cabaran domestik Amerika akan terus menjadi tumpuan utama kempen Cik Harris menjelang pilihan raya pada 5 November.
Beliau berharap dapat membawa perubahan yang lebih terangkum dan menyeluruh buat rakyat Amerika serta masyarakat antarabangsa. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg