NEW YORK: Presiden Penguasa Palestin (PA), Encik Mahmoud Abbas, memberi amaran bahawa dasar Israel bukan sahaja menggugat usaha mewujudkan penyelesaian dua negara, malah semakin mengancam kehidupan dan kewujudan rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.

Dalam ucapan menerusi rakaman video kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September, beliau menuduh Israel melancarkan perang yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai sehingga mencetuskan bencana kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Encik Abbas, 90 tahun, menyampaikan ucapan dari pejabatnya di Ramallah selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi menolak permohonan visa delegasi Palestin untuk menghadiri perhimpunan tahunan itu di New York.

PBB memberikan pengecualian khas yang membolehkan beliau menyampaikan ucapan melalui rakaman video.

Dalam ucapannya, Encik Abbas menegaskan bahawa penyelesaian dua negara masih merupakan jalan untuk menamatkan konflik Israel-Palestin, sambil menyeru masyarakat antarabangsa memastikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Kami mahukan sebuah negara Palestin demokratik yang menghormati kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia, sebuah negara tanpa angkatan tentera yang hidup dengan aman dan selamat bersama negara Israel.

“Perkara ini boleh dicapai,” katanya.

Beliau turut menyifatkan keadaan yang dihadapi rakyat Palestin sekarang sebagai antara tempoh paling berbahaya dalam sejarah mereka.

Menurutnya, serangan berterusan Israel di Gaza telah memusnahkan kawasan kediaman, kem pelarian, sekolah, universiti, hospital, masjid dan gereja, sekali gus menjejaskan kehidupan serta masa depan beberapa generasi rakyat Palestin.

Encik Abbas turut mengecam keganasan penduduk haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, selain pembinaan dan peluasan petempatan Yahudi yang menurutnya bertujuan mengubah keadaan di wilayah Palestin.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada rancangan penjajahan yang bertujuan menyukarkan kehidupan rakyat Palestin sehingga memaksa mereka meninggalkan tanah air sendiri.

Israel menolak tuduhan tersebut dan mempertahankan operasi ketenteraannya di Gaza atas alasan menghapuskan ancaman keselamatan daripada Hamas.

Encik Abbas turut menyambut baik pelan damai Gaza yang dikemukakan Encik Trump menerusi Lembaga Keamanan dan disokong Majlis Keselamatan PBB.

Pelan itu bertujuan menamatkan peperangan, melucutkan senjata Hamas dan membina semula Gaza yang mengalami kemusnahan besar akibat konflik.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kekecewaan kerana usaha tersebut masih belum menghasilkan perubahan yang dijanjikan.

“Malangnya, kami masih belum melihat sebarang perkara itu dilaksanakan di lapangan,” katanya.

Pada masa sama, Hamas menyatakan kesediaannya melaksanakan pelan 15 perkara yang dipersetujui bersama Lembaga Keamanan, termasuk pelucutan senjata kumpulan bersenjata Palestin, penyerahan pentadbiran Gaza kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat.

Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata kumpulan itu telah mengambil langkah yang diperlukan untuk mematuhi perjanjian berkenaan.

Beliau sebaliknya menuduh Israel menghalang pelaksanaan gencatan senjata dan terus meningkatkan serangan terhadap rakyat Palestin.

Hamas turut mengkritik Lembaga Keamanan serta wakil tingginya bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, kerana didakwa gagal memastikan Israel memenuhi komitmennya.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini menolak pelan tersebut dan menegaskan bahawa Hamas mesti dilucutkan senjata sepenuhnya sebelum sebarang pengunduran tentera Israel dilaksanakan.

Encik Abbas menegaskan bahawa sebarang pentadbiran peralihan di Gaza mesti membawa kepada penyatuan semula wilayah itu dengan Tebing Barat di bawah sebuah negara Palestin yang mempunyai satu angkatan keselamatan yang sah.

Beliau turut mengumumkan rancangan mengadakan pilihan raya perundangan pada 28 November, yang pertama dalam tempoh 20 tahun, meskipun masih timbul keraguan sama ada pengundian itu dapat dilaksanakan.

Mengakhiri ucapannya, Encik Abbas menegaskan bahawa usaha menyelamatkan penyelesaian dua negara mesti bermula dengan mempertahankan wilayah Palestin dan melindungi penduduknya daripada kehilangan tanah air.

“Kami tidak akan meninggalkan tanah air kami. Kami tidak akan menerima penempatan semula. Kami tidak akan membenarkan sesiapa membuat keputusan bagi pihak kami,” tegas beliau. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti