Topik diikuti
Pergi ke BHkuAbbas: Tiada negara Palestin tanpa Gaza
ANKARA: Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menegaskan bahawa Gaza adalah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada Palestin dan tidak mungkin sebuah negara Palestin diwujudkan tanpa wilayah itu.
Beliau berkata seluruh wilayah Palestin perlu disatukan di bawah satu pemerintahan, satu badan perundangan dan satu sistem pentadbiran sebagai sebahagian usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Tidak mungkin ada sebuah negara hanya di Gaza dan tidak mungkin ada sebuah negara tanpa Gaza,” katanya pada sidang media bersama Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, di Ankara.
Encik Abbas berada di ibu kota Turkey atas undangan Encik Erdogan dan mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkembangan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis, selain hubungan dua hala.
Beliau menyifatkan perbincangan itu sebagai “amat penting dan membuahkan hasil”, dengan kedua-dua pemimpin bersetuju memperkukuh dialog dan kerjasama antara Palestin dengan Turkey.
Menurut Encik Abbas, keamanan yang adil dan berkekalan hanya boleh dicapai dengan menamatkan pendudukan Israel dan mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
Beliau turut menggesa pelaksanaan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemulihan segera kedaulatan Palestin yang sah di Gaza.
Encik Abbas berkata matlamat itu perlu dicapai berlandaskan undang-undang antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.
“Rakyat Palestin mengharapkan sokongan berterusan daripada Turkey sehingga mereka mencapai kemerdekaan dan kebebasan,” katanya.
Beliau berkata gencatan senjata di Gaza berjaya dicapai menerusi usaha Turkey, Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat, tetapi bantuan kemanusiaan masih belum memasuki wilayah itu pada tahap yang diperlukan.
Selain penyatuan wilayah Palestin, Encik Abbas menekankan kepentingan membina institusi politik yang kukuh dan mencapai kebebasan kewangan supaya sebuah negara Palestin dapat berfungsi sepenuhnya.
Menurut beliau, Israel kini menahan dana milik Palestin bernilai kira-kira AS$6.5 bilion ($8.3 bilion), sekali gus memberi tekanan besar terhadap kedudukan kewangan Penguasa Palestin.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan ketegangan di Tebing Barat dan Baitulmakdis serta keganasan peneroka Israel yang menurut pihak Palestin berlaku dengan perlindungan tentera Israel.
Encik Abbas turut menuduh Israel meneruskan serangan terhadap tempat suci Islam dan Kristian.
Beliau menegaskan rakyat Palestin akan terus mempertahankan tanah mereka dan menolak sebarang usaha untuk memindahkan mereka secara paksa.
Dalam hal itu, beliau merujuk Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB yang menyatakan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki tidak mempunyai kesahihan undang-undang.
Encik Abbas turut menekankan perlunya tempat suci Islam dan Kristian dilindungi serta perpaduan Palestin dan proses perdamaian nasional diperkukuh.
“Kita adalah satu negara dan akan kekal sebagai satu negara, bersatu di bawah satu badan perundangan dan satu pihak berkuasa,” katanya.
Dalam sidang media sama, Encik Erdogan menuduh pemerintahan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, cuba mengalihkan perhatian dunia daripada isu Palestin dengan mengambil kesempatan daripada konflik dan ketidakstabilan serantau.
“Matlamat pemerintahan Netanyahu adalah untuk menghapuskan Palestin daripada agenda bersama umat manusia dengan mengambil kesempatan daripada kekacauan dan konflik baharu di rantau ini,” katanya.
“Apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan berjaya. Isu Palestin akan terus berkembang dalam hati manusia ketika mereka cuba memusnahkannya,” tambah beliau.
Encik Erdogan berikrar Turkey akan terus menyokong usaha mewujudkan sebuah negara Palestin.
Pemimpin Turkey itu sebelum ini berulang kali mengkritik dasar Israel di Gaza dan menuduh Encik Netanyahu melakukan “genosid”, selain mengecam dasar Israel di Tebing Barat, Lebanon dan Syria.
Pertemuan itu turut menyentuh rancangan Palestin mengadakan pilihan raya perundangan pada 28 November ini, diikuti pilihan raya presiden pada awal tahun depan.
Sekiranya berlangsung seperti dirancang, pilihan raya perundangan itu akan menjadi yang pertama di Palestin dalam tempoh dua dekad.
Encik Erdogan berharap pilihan raya itu dapat membantu memperkukuh proses perdamaian dalam kalangan rakyat Palestin, termasuk menangani perpecahan berpanjangan antara Fatah pimpinan Encik Abbas dengan Hamas.
“Saya berharap keputusan mengadakan pilihan raya perundangan dan presiden di Palestin selepas sekian lama akan membawa kebaikan dan memajukan proses perdamaian,” katanya.
Encik Abbas turut menyambut baik perjanjian pertahanan antara Turkey, Arab Saudi dan Pakistan yang dimeterai pada 7 Ogos lalu.
Beliau menyifatkan pakatan itu sebagai “amat penting” dan berharap kerjasama berkenaan dapat membantu meningkatkan keselamatan serta kestabilan di rantau tersebut. - Agensi berita
