Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasa depan Fatah masih kabur di sebalik pemilihan barisan pemimpin baharu
Masa depan Fatah masih kabur di sebalik pemilihan barisan pemimpin baharu
Persoalan utama adalah sama ada sistem politik Palestin masih mampu diperbaharui
Masa depan Fatah masih kabur di sebalik pemilihan barisan pemimpin baharu
RAMALLAH: Pemilihan semula Encik Mahmoud Abbas, sebagai ketua Fatah dalam Kongres Agung Kelapan gerakan itu pada 14 Mei hingga 17 Mei lalu mungkin kelihatan seperti proses politik biasa.
Tetapi bagi ramai pemerhati, ia sebenarnya mencerminkan krisis lebih besar yang sedang melanda politik Palestin.
Di sebalik pemilihan anaknya, Encik Yasser Abbas, ke Jawatankuasa Pusat Fatah, persoalan utama bukan lagi sekadar siapakah bakal menggantikan Encik Abbas, malah sama ada sistem politik Palestin sendiri masih mampu diperbaharui.
Pensyarah Hubungan Antarabangsa di Jabatan Kajian Perang, King’s College London, Dr Tahani Mustafa, berkata apa yang berlaku dalam Fatah ketika ini lebih berkait soal “kelangsungan kuasa” berbanding peralihan kepimpinan sebenar.
Menurut beliau, Encik Abbas selama ini menggunakan pendekatan “pecah dan perintah” dalam Fatah bagi memastikan tiada tokoh tunggal mampu muncul sebagai pengganti yang terlalu kuat dan berpengaruh.
“Pertarungan dalam Kongres Kelapan Fatah bukan sebenarnya mengenai penggantian kuasa, sebaliknya mengenai kelangsungan sistem politik sedia ada,” katanya.
Beliau berkata strategi Encik Abbas selama ini bergantung kepada perpecahan dalaman, pergantungan kepada sokongan luar serta pengawalan ketat terhadap institusi politik Palestin.
Kongres Fatah yang berlangsung pada 14 Mei lalu menyaksikan Encik Abbas, 90 tahun, sekali lagi dipilih mengetuai gerakan itu tanpa sebarang cabaran serius.
Lebih 2,500 perwakilan hadir dalam kongres tersebut yang turut memilih anggota baharu Jawatankuasa Pusat buat kali pertama dalam tempoh hampir sedekad.
Namun, bagi ramai penganalisis, kongres itu gagal membawa pembaharuan sebenar.
“Tiada pertarungan penggantian kuasa yang sebenar berlaku. Tiada reformasi yang benar-benar muncul,” kata Dr Tahani.
Sebaliknya, beliau melihat kongres itu sekadar mengesahkan bahawa Fatah dan Penguasa Palestin semakin menjadi “struktur politik tertutup” yang gagal membawa pembaharuan dan kehilangan legitimasi rakyat.
Encik Abbas dipilih sebagai Presiden Palestin pada Januari 2005, tetapi penggal pemerintahannya secara rasmi tamat pada 2009.
Sejak itu, tiada Pilihan Raya Presiden atau legislatif nasional diadakan.
Penguasa Palestin kini mentadbir sebahagian Tebing Barat dengan sokongan institusi keselamatan, rangkaian pentadbiran sedia ada dan bantuan antarabangsa sambil terus berusaha mengekalkan kestabilan politik di wilayah itu.
Krisis keyakinan rakyat terhadap Penguasa Palestin semakin mendalam selepas perang Gaza dan kegagalan kepimpinan Palestin memainkan peranan besar dalam menentukan masa depan wilayah tersebut.
Dalam keadaan itulah kemunculan Encik Yasser Abbas, menjadi perhatian.
Encik Yasser, 64 tahun, memperoleh kerusi dalam Jawatankuasa Pusat Fatah walaupun tidak pernah memegang jawatan rasmi penting dalam Fatah atau Penguasa Palestin sebelum ini.
Namun dalam masa sama, Encik Abbas dilihat sengaja memastikan tiada seorang pun tokoh Fatah menjadi terlalu dominan.
Strategi itu menyebabkan beberapa tokoh berpengaruh terus bersaing antara satu sama lain tanpa mampu membentuk blok kuasa yang benar-benar mencabar beliau.
Dalam masa sama, mantan pemimpin Fatah yang kini berpangkalan di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Encik Mohammed Dahlan, terus kekal relevan walaupun disingkirkan daripada Fatah sejak 2011.
Menurut Dr Tahani, hakikat bahawa tokoh seperti Encik Dahlan masih mempunyai pengaruh menunjukkan betapa lemahnya struktur politik Palestin ketika ini.
“Dalam mana-mana gerakan nasional yang berfungsi dengan baik, seorang pemimpin berusia 90 tahun yang terus memerintah lebih 16 tahun selepas tamat mandat tidak akan dianggap normal,” katanya.
Beliau turut berpendapat kelemahan dan perpecahan politik Palestin secara tidak langsung memberi manfaat kepada Iran.
“Teheran tidak memerlukan kemenangan Palestin. Apa yang diperlukan ialah politik Palestin yang terus berpecah dan gagal berfungsi,” katanya.
Menurut beliau, kekosongan politik di Palestin membuka ruang kepada pengaruh kumpulan bersenjata dan jaringan proksi Iran berkembang di Gaza dan Tebing Barat.
Dalam masa sama, negara Arab seperti UAE dan Mesir kini melihat isu Palestin lebih daripada sudut keselamatan serantau berbanding retorik politik tradisional.
Mereka mahu memastikan Gaza tidak terus menjadi pusat ketidakstabilan dan pengaruh kumpulan bersenjata.
Namun, masalah terbesar tetap terletak pada kegagalan sistem politik Palestin melahirkan kepimpinan baharu yang mempunyai legitimasi rakyat.
Fatah yang suatu ketika dahulu menjadi lambang perjuangan nasional Palestin kini semakin dilihat sebagai gerakan berusia yang sukar berubah.
Perang Gaza, krisis ekonomi, kehilangan sokongan rakyat serta ketiadaan pilihan raya menjadikan masa depan politik Palestin semakin kabur.
Di tengah-tengah semua ketidakpastian itu, Encik Abbas masih terus memegang tampuk kuasa sambil memastikan keseimbangan dalaman Fatah kekal cukup berpecah supaya tiada sesiapa benar-benar mampu menggantikannya.
Bagi ramai pemerhati, itulah realiti politik Palestin hari ini – sebuah sistem yang terus bertahan, tetapi semakin kehilangan arah, legitimasi dan harapan ke arah pembaharuan sebenar. – Agensi berita.
