Abhisit kembali ke pentas politik Thai jelang pilihan raya 8 Feb

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abhisit kembali ke pentas politik Thai jelang pilihan raya 8 Feb

Feb 4, 2026 | 1:59 PM

Abhisit kembali ke pentas politik Thai jelang pilihan raya 8 Feb

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Abhisit Vejjajiva, perdana menteri thailand, parti demokrat, pilihan raya Thailand
Ketua Parti Demokrat dan calon Perdana Menteri, Encik Abhisit Vejjajiva, menyapa penyokong semasa satu perhimpunan kempen menjelang Pilihan Raya Umum 8 Februari di Bangkok, Thailand, pada 27 Januari. - Foto REUTERS

BANGKOK: Di tengah kesibukan kawasan komersial Bangkok pada waktu makan tengah hari, kemunculan bekas Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, mencuri perhatian.

Ramai yang berhenti untuk bersalaman, berbual ringkas, malah meminta bergambar, mencerminkan rasa ingin tahu serta kekaguman yang masih wujud terhadap tokoh politik tersebut.

Menurut laporan agensi berita, Reuters pada 4 Februari, ahli ekonomi berpendidikan Universiti Oxford yang memimpin Thailand dari 2008 hingga 2011 itu kini membuat kemunculan semula berprofil tinggi dalam politik.

Pada usia 61 tahun, Encik Abhisit bertekad menghidupkan kembali Parti Demokrat, parti politik tertua Thailand, menjelang pilihan raya umum pada 8 Februari.

“Seronok jumpa awak lagi, masih kacak seperti dulu,” kata seorang peniaga mi, melambangkan sambutan mesra sebahagian pengundi terhadap bekas perdana menteri itu.

Bercakap kepada Reuters ketika berkempen di Bangkok, Encik Abhisit berkata kemunculannya semula didorong oleh rasa tanggungjawab untuk memberi pilihan sebenar kepada pengundi yang semakin kecewa dengan landskap politik semasa.

“Setiap kali saya bertemu orang ramai, mereka meluahkan kekecewaan kerana kekurangan pilihan,” katanya. “Saya hanya mahu menawarkan satu pilihan dan menghidupkan semula parti ini.”

Kembalinya Encik Abhisit berlaku selepas bertahun-tahun kemerosotan Parti Demokrat, yang suatu ketika dahulu menguasai wilayah selatan Thailand dan Bangkok.

Dominasi itu pudar selepas rampasan kuasa tentera pada 2014, menyebabkan parti berkenaan tenggelam dalam bayang-bayang pesaing yang lebih baru dan populis.

Kehadiran semula Encik Abhisit dilihat membangkitkan semula keyakinan dalam kalangan penyokong tradisional parti tersebut.

Kakitangan kerajaan dari timur laut Thailand,Encik Yuttapum Rattanamanee, berkata keluarganya kembali menyokong Parti Demokrat selepas Encik Abhisit mengambil alih kepimpinan.

“Apabila Abhisit berundur dahulu, parti ini kehilangan kekuatan kerana orang ramai tidak lagi mempercayai kepimpinan,” katanya.

“Abhisit berkebolehan, cekap dan jujur,” tambah beliau.

Walaupun tinjauan pendapat menunjukkan Encik Abhisit tidak berpeluang besar untuk kembali menjadi perdana menteri, kemunculannya semula telah membantu mengukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi konservatif dan golongan lebih berusia, tambah penganalisis politik

Ahli sains politik dari Universiti Burapha, Olarn Thinbangtieo, berkata kembalinya Encik Abhisit telah memberi nafas baru kepada parti itu selepas bertahun-tahun menyimpang daripada prinsip asalnya.

“Kemerosotan sebelum ini berpunca daripada kepimpinan yang menjauh daripada prinsip parti,” katanya.

“Kepulangan beliau telah meningkatkan sokongan,” tambahnya.

Tempoh Encik Abhisit sebagai perdana menteri bagaimanapun tidak terlepas daripada kontroversi.

Pentadbirannya berdepan ketegangan politik yang memuncak, termasuk tindakan keras tentera terhadap demonstrasi antikerajaan di tengah Bangkok pada 2010 yang mengorbankan 90 nyawa.

Kumpulan hak asasi manusia mengkritik operasi itu sebagai penggunaan kekerasan maut yang berlebihan.

Namun, mahkamah Thailand kemudian menggugurkan semua pertuduhan jenayah terhadap Encik Abhisit dan pegawai kanan kerajaan, tanpa sebarang sabitan.

Pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana mencabar, dengan Thailand masih bergelut dengan kesan banjir besar yang melanda selatan negara itu pada November lalu, mengorbankan 145 orang di sembilan wilayah.

Di wilayah Songkhla yang terjejas teruk, satu tinjauan pada Januari menunjukkan Encik Abhisit mendahului pilihan pengundi berbanding Perdana Menteri penyandang Encik Anutin Charnvirakul.

Keputusan itu mencerminkan kekuatan berterusan Parti Demokrat di kubu tradisinya.

“Ia menunjukkan orang selatan mula kembali dan semakin menerima kami,” kata Encik Abhisit.

Namun, cabaran terbesar kekal di Bangkok, kawasan pilihan raya terbesar negara dengan 33 kerusi dan kira-kira 4.5 juta pengundi.

Pada pilihan raya 2023, hampir semua kerusi di ibu negara dimenangi oleh parti yang kemudian membentuk Parti Rakyat.

“Secara ideal, kami mahukan lebih banyak masa untuk persiapan,” akui Encik Abhisit sambil mengakui kesukaran memenangi semula sokongan pengundi bandar.

Pilihan raya mengejut pada 8 Februari itu diadakan selepas Encik Anutin membubarkan Parlimen pada Disember lalu ketika ketegangan sempadan dengan Kemboja memuncak, langkah yang menurut penganalisis bertujuan memanfaatkan sentimen nasionalisme.

Encik Abhisit menegaskan kempen beliau bukan sekadar bergantung pada nostalgia terhadap kepimpinannya yang lalu, termasuk tempoh beliau menjadi perdana menteri pada usia 44 tahun selepas mula menjadi anggota Parlimen pada usia 27 tahun.

“Ia bukan hanya tentang menghidupkan semula parti, tetapi juga mengubahnya,” katanya.

“Kami mahu mengembalikan prinsip yang pernah membuatkan rakyat menyokong kami,” tambahnya.

Pilihan raya Thailand kali ini menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi jawatan perdana menteri, melibatkan Parti Demokrat pimpinan Encik Abhisit; Parti Bhumjaithai pimpinan Encik Anutin, dan Parti Rakyat yang diketuai Encik Natthaphong Ruengpanyawut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg