BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, telah memperkenankan dekri pembubaran Parlimen, menurut Warta Diraja pada 12 Disember.
Langkah itu membuka jalan kepada pilihan raya awal yang perlu diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan Thailand.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menyatakan bahawa beliau “mengembalikan kuasa kepada rakyat” dengan memutuskan membubarkan Parlimen lebih awal daripada jadual asal.
Encik Anutin telah menyerahkan permohonan rasmi pembubaran Parlimen kepada Raja.
Jurucakap kerajaan, Encik Siripong Angkasakulkiat, berkata keputusan itu berpunca daripada perselisihan dengan kumpulan terbesar di Parlimen, parti pembangkang Parti Rakyat.
“Ini berlaku kerana kita tidak dapat bergerak ke hadapan di Parlimen,” kata Encik Siripong.
“Apabila Parti Rakyat tidak mendapat apa yang mereka mahu, mereka mengancam untuk mengemukakan usul undi tidak percaya dan meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen serta-merta,” tambah beliau.
Tekanan politik itu sekali lagi menyerlahkan ketidakstabilan politik Thailand, yang telah menyaksikan tiga perdana menteri sejak Ogos 2023.
Keadaan ini menambah beban kepada ekonomi kedua terbesar Asia Tenggara itu, yang sedang bergelut dengan tarif Amerika Syarikat dan hutang isi rumah yang tinggi.
Ketua Parti Rakyat Encik Natthaphong Ruengpanyawut, berkata parti Bhumjaithai pimpinan Encik Anutin tidak mematuhi syarat perjanjian mereka untuk bekerjasama.
“Kami telah cuba menggunakan suara pembangkang untuk mendesak agar pindaan Perlembagaan diteruskan,” katanya.
Menurutnya, komitmen itu merupakan sebahagian daripada syarat sokongan kepada kerajaan pimpinan Encik Anutin.
Persefahaman antara kedua-dua parti mula retak apabila tuntutan Parti Rakyat termasuk desakan mengadakan referendum mengenai pindaan Perlembagaan tidak dipenuhi.
Encik Siripong mengulangi bahawa kegagalan memenuhi syarat itu menjadi punca keruntuhan gabungan politik tersebut.
Pengumuman pembubaran Parlimen dibuat ketika Thailand memasuki hari keempat konflik berdarah di sempadan dengan Kemboja, yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa dan mencederakan hampir 200 orang.
Pertempuran tercetus di lebih sedozen lokasi, termasuk penggunaan artileri berat.
Encik Anutin menegaskan pada 10 Disember bahawa pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan operasi ketenteraan negara di sempadan.
“Urusan keselamatan akan diteruskan tanpa gangguan, walaupun Parlimen dibubarkan,” katanya kepada pemberita.
Pada September lalu, Encik Anutin menyatakan hasrat membubarkan Parlimen menjelang akhir Januari dengan pilihan raya umum dijangka berlangsung pada Mac atau awal April.
Namun langkah terbaru ini mempercepatkan proses itu secara signifikan.
Encik Anutin merupakan Perdana Menteri ketiga sejak Ogos 2023 selepas parti Bhumjaithai menarik diri daripada gabungan pemerintah terdahulu dan membentuk pakatan baru dengan Parti Rakyat.
Sebagai balasan sokongan, Parti Rakyat mengemukakan beberapa tuntutan, termasuk referendum pindaan Perlembagaan.
Tetapi apabila tuntutan itu tidak dipenuhi, gabungan tersebut runtuh memaksa Thailand menuju satu lagi pilihan raya dalam keadaan politik yang tidak stabil.
Dengan dekri pembubaran kini dibenarkan Raja, rakyat Thailand bakal menentukan arah baru negara itu dalam tempoh kurang daripada dua bulan.
Seorang diplomat Thailand ditukil sebagai berkata kepada media tempatan: “Pilihan raya ini bukan sekadar proses rutin, ia penentu kestabilan jangka panjang negara.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg