Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

RENCANA

Adakah AS masih jadi kuasa yang ‘sangat diperlukan’?

Nov 14, 2023 | 06:00 PM



Presiden Amerika Syarikat selalunya memberi ucapan dari Pejabat Oval, Rumah Putih, pada saat-saat genting negaranya.

Saat itu timbul buat Encik Joe Biden pada 19 Oktober lalu apabila, buat kali kedua dalam tempoh presidennya, beliau berucap kepada rakyat Amerika, dengan berkata “keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan masa depan untuk beberapa dekad mendatang”.

Alasan bagi ucapan itu ialah keperluan Encik Biden memujuk rakyat Amerika dan menerusi mereka, anggota Kongres Amerika, bahawa negara itu harus menyediakan kira-kira AS$100 bilion ($136 bilion) dalam bantuan kewangan dan ketenteraan bagi perang Israel terhadap Hamas di Gaza, dan bagi perang Ukraine menentang tentera Russia yang menceroboh.

Namun, ucapan itu bukan sahaja berkenaan wang; ia lebih menekankan mengenai bagaimana Encik Biden melihat Amerika sebagai pemimpin dan pembentuk utama dunia yang kini sedang mengalami perubahan besar.

Amerika, dakwanya, kekal “penting” dan “negara yang sangat diperlukan” untuk “menyatukan dunia”. Dan dalam peperangan di Timur Tengah dan Ukraine, Amerika dan sekutu Baratnya menghadapi ancaman yang sama terhadap keselamatan mereka.

Membenarkan kemenangan musuh Amerika dalam kededua konflik itu akan membuat dunia makmur yang Amerika bina sejak hujung Perang Dunia Kedua hilang, kata Encik Biden.

Namun presiden Amerika itu tidak bercadang menghantar tentera Amerika ke dua perang tersebut. Tetapi, beliau melihat kepimpinan Amerika sebagai pihak penting yang menyatukan dunia.

Pengajaran dari Ukraine, Gaza

Namun, tidak dinafikan, pada saat genting ini apabila pengaruh global Amerika dicabar, ucapan terbaru Encik Biden itu dan keazamannya untuk menegaskan semula keunggulan Amerika adalah penting. Persoalan sebenar adalah apakah Amerika masih berupaya dan mampu melaksanakan kepimpinan sejagat?

Apakah Amerika masih merupakan kuasa yang “sangat diperlukan”? Pengajaran daripada dua konflik besar yang dihadapi dunia – Ukraine sebagai perang terbesar Eropah dalam 80 tahun; dan perang Israel di Gaza – mencadangkan jawapannya ialah Amerika masih merupakan kuasa penting.

Di Ukraine, Amerika yang mula-mula memberi amaran tentang persiapan Russia untuk berperang, walaupun banyak negara menolak amaran itu sebagai rekaan atau membesar-besarkan keadaan. Encik Biden memutuskan bahawa Ukraine harus mendapat semua bantuan ketenteraan yang diperlukan.

Hujah yang dibuat presiden Amerika dan penasihatnya – bahawa kegagalan Russia di Ukraine akan menghalang China daripada mencuba menawan Taiwan – masih boleh dipertikaikan. Namun, apa yang tidak boleh diperdebatkan ialah penentangan terhadap Russia mempunyai kesan ketara kepada keselamatan global dan semua ini tidak boleh dicapai tanpa Amerika mengambil peranan kepimpinan.

Perkara sama berlaku pada konflik terkini di Timur Tengah. Amerika mungkin dikritik kerana menyokong kuat Israel dan mempunyai sikap acuh tak acuh terhadap nasib rakyat Palestin. Tetapi apakah yang telah Russia dan China lakukan dalam mengendalikan konflik tersebut, selain mengulangi rayuan untuk “keamanan” dan “huraian Palestin-Israel”?

Amerika memujuk Israel untuk membenarkan konvoi kemanusiaan memasuki Gaza. Amerika juga dapat menangguhkan serangan darat Israel selama dua minggu sebagai tindak balas kepada serangan Hamas dengan memujuk pemerintah Israel bahawa keinginan membalas dendam bukanlah asas munasabah untuk tindakan ketenteraan. Dan hanya Amerika yang dapat menghalang Iran daripada menjadikan peperangan Israel-Palestin kepada peperangan serantau.

Semua ini tidak dicapai kerana Amerika mencari lebih pengaruh di Timur Tengah. Malah, Presiden Biden bertekad mahu mengurangkan kaitan Amerika kepada permasalahan di Timur Tengah. Cakap mudahnya, Amerika mungkin tidak berminat dengan Timur Tengah tetapi Timur Tengah tetap berminat dengan Amerika.

Keupayaan Amerika

Adakah Amerika mampu melaksanakan tanggung jawab globalnya? Sekali lagi, penjelasan biasa ialah Amerika kian hilang kuasanya, dan oleh sebab itu tidak lagi mampu memikul tugas kuasa besar. Namun, penjelasan itu sekali lagi satu salah faham.

Buat julung kalinya sejak awal 1950-an, Amerika menghadapi lawan besar di kededua Eropah dan Asia. Buat julung kalinya, Amerika mesti bersaing dengan kuasa seperti China, sebuah negara kuat yang menggabungkan kuasa ekonomi dan ketenteraan yang semakin canggih, sesuatu yang tidak pernah dicapai Soviet Union.

Namun, statistik memaparkan kisah berbeza. Pada saat kebangkitan Amerika sebagai kuasa besar tunggal dunia selepas berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990-an, dengan Soviet Union dibubarkan dan Amerika diiktiraf sebagai satu-satunya kuasa besar dunia, ekonomi Amerika menyumbang 26 peratus kepada ekonomi dunia.

Dan hari ini? Amerika menyumbang 24 peratus kepada ekonomi dunia. Kehilangan kuasa tidak berlaku di Amerika tetapi di Eropah: Pada awal 1990-an, Eropah menyumbang kepada ekonomi global serupa dengan Amerika, tetapi hari ini, ia hanya separuh daripada jumlah itu.

Tambahan, walaupun rakyat Amerika bimbang tentang pertumbuhan senjata China, hakikatnya Amerika masih membelanjakan lebih banyak untuk pertahanan berbanding gabungan 10 negara, termasuk Britain dan China.

Ini semua tidak bermakna agenda keselamatan antarabangsa Encik Biden bebas daripada masalah. Percubaannya untuk “menyatukan dunia” dengan mengaitkan hubungan antara Israel dengan Ukraine – dua konflik sejauh 2,000 kilometer dan melibatkan lawan yang sangat berbeza – yang dianggap penting buat keselamatan nasional Amerika, mempunyai risiko.

Ini kerana lebih sukar buat Amerika untuk menegakkan sistem pakatan globalnya jika ia menggabungkan semua ancaman yang dilihatnya bersama. Sementara sekutu Amerika di Eropah bersetuju berkenaan Russia, mereka mempunyai perspektif berbeza terhadap Timur Tengah atau, juga China.

Namun, keazaman Encik Biden untuk meyakinkan pengundinya bahawa kepimpinan Amerika menawarkan manfaat dan tanggung jawab boleh berjaya.

Seperti Encik Winston Churchill, pemimpin Britain semasa Perang Dunia Kedua, pernah berkata: “Rakyat Amerika selalu cuba melakukan perkara yang betul, hanya selepas mereka mencuba segala-galanya.”

Makalah ini adalah sedutan rencana yang disiarkan di The Straits Times.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >