JAKARTA: Agensi antirasuah Indonesia menahan lima individu, termasuk Bima Setyawan, adik kepada ketua agensi pengurusan bencana negara itu, atas dakwaan rasuah membabitkan dana bantuan kecemasan ketika krisis jerebu melanda Asia Tenggara.

Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menjalankan serbuan di Jakarta dan kawasan sekitarnya pada 13 Oktober sebelum menahan lima individu itu pada 14 Oktober atas dakwaan penyelewengan dalam perolehan barangan dan perkhidmatan di Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Pengerusi KPK, Encik Setyo Budiyanto, berkata pada 14 Oktober penyiasat mengesyaki kegiatan bersubahat antara pegawai agensi itu dengan syarikat swasta dalam pengagihan dan penggunaan dana kecemasan.

“Terdapat petunjuk ada perancangan sulit dalam pengagihan dan penggunaan dana, yang sebahagiannya disalahgunakan oleh individu tertentu untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Siasatan tertumpu pada dana kecemasan BNPB yang boleh digunakan serta-merta untuk keperluan mendesak ketika bencana, termasuk pembelian bekalan dan perkhidmatan penting.

Menurut The Jakarta Post, BNPB menerima peruntukan kira-kira 4.62 trilion rupiah ($330 juta) untuk tujuan tersebut pada 2026.

KPK belum menyatakan sama ada sebarang dana yang diperuntukkan bagi menangani kebakaran hutan ketika ini turut disalahgunakan.

Peraturan perolehan kecemasan membolehkan agensi melantik pembekal secara langsung bagi mempercepat usaha menangani bencana, namun Encik Setyo menegaskan perbelanjaan itu tetap tertakluk pada peraturan.

Bima ialah kakitangan pakar kepada abangnya, Ketua BNPB, Encik Suharyanto.

Suspek lain ialah pegawai perolehan, Gabriel Purwaka Sigitl; kakitangan pakar, Richard Erlangga; serta wakil swasta, Gery Prasetiawan dan Syifa Nrika Ghifarian.

Encik Setyo berkata Encik Suharyanto tidak dinamakan sebagai suspek.

Penyiasat juga belum mengesahkan hubungan adik-beradik antara beliau dengan Bima.

Bagaimanapun, Encik Setyo menegaskan bahawa penyiasat akan menentukan tanggungjawab setiap individu tanpa mengira hubungan kekeluargaan.

“Yang penting, individu yang menyalahi undang-undang perlu bertanggungjawab atas tindakannya,” kata beliau.

KPK merampas wang tunai 3.3 bilion rupiah, ratusan gram emas dan mata wang kripto.

Pada mulanya, seramai 14 individu disoal siasat.

Siasatan turut meliputi dakwaan pertembungan kepentingan peribadi dengan tanggungjawab rasmi dalam urusan perolehan serta kesalahan rasuah lain.

Ia termasuk dakwaan seorang pegawai menggunakan kedudukannya untuk mendekati pembekal swasta dan mengatur urusan perolehan barangan serta perkhidmatan.

“Dia mengambil kesempatan atas kedudukannya untuk mendekati pembekal atau penyedia perkhidmatan,” kata Encik Setyo tanpa menamakan suspek.

Menurutnya, penyelewengan mungkin bermula pada 2022 atau 2023, namun beliau tidak pasti.

KPK belum memastikan jumlah dana yang didakwa diseleweng, berapa banyak untuk kepentingan peribadi serta barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam perolehan itu.

Tangkapan berlaku ketika kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan menyebarkan asap ke Singapura dan Malaysia.

Pemerintah mengerahkan kira-kira 70,000 anggota BNPB, tentera, polis dan agensi lain.

Dakwaan itu mendorong anggota Parlimen menggesa supaya penggunaan dana bantuan bencana diteliti dengan lebih ketat.

Anggota Parlimen Encik Abdullah, dikenali sebagai Abduh, menggesa Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) menjalankan audit menyeluruh terhadap BNPB. 

“Jika dana mangsa bencana diselewengkan, berapa ramai yang kehilangan bantuan diperlukan?” katanya.

KPK mungkin memperluas siasatan jika muncul bukti atau individu lain terlibat.

Pemangku jurucakap BNPB, Encik Berton Panjaitan, berkata agensi menghormati proses undang-undang dan bekerjasama dengan penyiasat.

Walaupun operasi terjejas, perkhidmatan awam dan usaha menangani bencana diteruskan.

Anggota Parlimen Indonesia, Encik Abdul Wachid, melahirkan rasa kecewa terhadap dakwaan rasuah itu ketika negara itu dilanda bencana.

“Ketika rakyat menderita akibat bencana, bagaimana ada pihak berkesempatan melakukan rasuah?” katanya.